Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 9 RAMADAN — Hamas menegaskan kedaulatan rakyat Palestin untuk berada di tanah sendiri dan mereka tidak akan berundur selagi penjajahan Israel berterusan.
Ketua Hubungan Antarabangsanya, Khaled Meshaal berkata tiada kuasa politik luar dapat menentukan nasib rakyat Palestin untuk berada di tanah sendiri, lapor Anadolu.
“Gaza kepunyaan rakyatnya. Tidak ada penduduk Gaza atau Tebing Barat yang akan menukar tanah airnya dengan tempat lain.
“Rakyat Palestin tiada alternatif selain tanah itu. Walau kami menghormati negara Arab dan Islam lain, tiada yang boleh menggantikan tanah air kami,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu majlis di Kaherah, Mesir menyambut tahanan yang dibebaskan Israel menerusi perjanjian gencatan senjata.
Katanya, Palestin akan terus ditadbir oleh pemimpinnya sendiri dan tiada kuasa politik asing akan diterima.
“Masa depan Gaza, urus tadbir, senjata dan kekuatan penentangannya kini dalam ancaman.
“Ummah merasakan ancaman itu tetapi ia tidak memadai. Langkah berikutnya perlu diambil,” katanya menegaskan Hamas tidak akan meletakkan senjata.
Khaled menjelaskan jihad satu-satunya jalan bagi rakyat Palestin merampas kembali tanah, membebaskan tahanan dan memperoleh kemerdekaan.
Katanya, 7 Oktober 2023 seharusnya menjadi tarikh penting sebagai satu usaha Hamas untuk mendapatkan semula Gaza.
“Jika tiada perang pada 6 Oktober 1973, Mesir tidak akan mendapatkan semula Sinai. Tanpa 7 Oktober 2023, kami tidak akan mendapatkan semula Palestin,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi