Oleh Kamil Awang
BANGI, 9 MAC — Gabungan Soldariti Pembebasan Palestin (GSPP) menyifatkan Israel kini berada pada tahap lemah dan terdesak.
Pengerusinya, Muhammad Fauzi Asmuni berkata fasa pertama gencatan senjata menunjukkan Israel dimalukan Hamas dan terpaksa tunduk dengan syarat yang ditetapkan.
“Dari awal saya tidak yakin gencatan senjata ini akan berpanjangan tetapi apa yang berlaku menunjukkan Israel sangat terdesak dan mereka berada pada pihak yang cukup lemah.
“Kita tidak pasti apa yang akan berlaku tetapi ia menunjukkan ke arah gencatan senjata fasa pertama akan berakhir dan kemungkinan akan berlanjutan sebelum masuk fasa yang kedua.
“Fasa dua menuju ke arah pembebasan penuh sesuatu yang Israel tidak mahu sebab ia akan menghentikan perang dan penjajahan,” katanya kepada TV Pertiwi.
Perjanjian gencatan senjata fasa dua masih belum dimuktamadkan selepas perantara dari Mesir dan Qatar tidak mencapai kata sepakat.
Israel dan Amerika Syarikat (AS) berterusan mengugut untuk kembali menyerang Gaza selepas Hamas enggan melanjutkan fasa pertama gencatan senjata.
Muhammad Fauzi berkata keengganan Israel untuk memulakan fasa dua gencatan senjata membuktikan keinginan negara haram itu untuk terus menakluk Gaza.
Katanya, proses gencatan senjata yang tidak memasuki fasa dua juga memberi isyarat pelan pembangunan semula Gaza oleh negara Arab sukar dicapai.
“Ia sesuatu yang amat jauh dan bergantung kepada kejayaan fasa pertama. Fasa pertama sendiri pun Israel tidak memenuhi beberapa syarat yang sudah disepakati.
“Antaranya kemasukan bahan api yang masih tersekat. Rumah pasang siap dan karavan yang patut masuk berpuluh ribu tetapi hanya belasan sahaja yang berjaya masuk.
“Begitu juga bantuan perubatan, sejak akhir-akhir ini hanya lima ambulans yang dibenar masuk jadi pembangunan semula Gaza bergantung kepada perkembangan fasa pertama,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi