Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 6 RAMADAN — Utusan Khas Presiden Amerika Syarikat (AS) ke Asia Barat memuji pelan pembangunan semula Gaza oleh negara Arab yang diketuai Mesir.
Steve Witkoff berkata apa yang diusulkan negara Arab adalah sesuatu yang positif walau belum mendapat persetujuan Donald Trump, lapor AFP.
“Kita memerlukan lebih banyak perbincangan mengenainya, tetapi ia adalah langkah pertama yang dibuat dengan niat baik oleh Mesir,” katanya kepada pemberita di Rumah Putih.
Presiden Mesir kelmarin menggesa Trump bersetuju dengan cadangan negara Arab terhadap pelan pembangunan semula di Gaza.
Abdel Fattah El-Sissi berkata Presiden AS wajar memberikan kerjasama dalam mengekalkan rakyat Palestin di Gaza.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di media sosial selepas Sidang Kemuncak Tergempar Negara Arab yang meluluskan dana AS$53 bilion (RM236 bilion).
Dana itu bagi pelan pembangunan semula Gaza dengan mengekalkan dua juta rakyat Palestin sekaligus menolak pelan pembangunan Gaza oleh Trump.
Mengulas ugutan Trump yang mahu menyerang kembali Gaza semalam, Witkoff berkata apa yang dikatakan Trump itu belum menjadi kenyataan.
Katanya, semuanya bergantung kepada Hamas dalam meneruskan keamanan di Tebing Gaza sebagaimana fasa pertama gencatan senjata.
“Saya fikir akan ada tindakan. Ia mungkin dilakukan secara bersama dengan Israel. Namun buat masa ini masih belum jelas.
“Tetapi saya percaya Hamas mempunyai peluang untuk bertindak secara rasional, melakukan perkara yang betul dan berundur.
“Mereka tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan di sana,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi