Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 5 RAMADAN — Presiden Amerika Syarikat (AS) sekali lagi mengeluarkan ugutan “hell to pay” selepas rundingan gencatan senjata menemui jalan buntu.
Donald Trump berkata masa depan Gaza kini terletak di tangan Hamas jika tidak mahu wilayah Palestin itu kembali diserang Zionis.
“Shalom Hamas bermakna hello atau selamat tinggal. Kamu pilih. Bebaskan semua tebusan sekarang tanpa berlengah.
“Kembalikan juga semua mayat yang sudah kamu bunuh. Jika tidak, ia pengakhiran buat kamu.
“Buatlah keputusan bijak sekarang. Bebaskan tahanan sekarang atau akan berlaku ‘hell to pay’ kemudian,” katanya menerusi coretan di aplikasi Truth Social hari ini.
Rundingan gencatan senjata fasa dua menemui jalan buntu selepas Israel enggan meneruskan perbincangan ke peringkat berikutnya.
Israel mahu fasa pertama gencatan senjata yang berakhir minggu lalu dilanjutkan bagi tempoh Ramadan dan perayaan Paskah pada bulan depan.
Hamas bagaimanapun berkeras untuk beralih ke fasa dua demi pengunduran penuh tentera Zionis dari Gaza.
Trump berkata AS sudah menyalurkan pelbagai keperluan yang dikehendaki Israel bagi menumpaskan Hamas di Gaza.
Katanya, Hamas diberikan amaran terakhir untuk meninggalkan Gaza sebelum Israel kembali menyerang wilayah itu.
“Saya berikan Israel segala-galanya bagi mereka menyempurnakan tugas itu. Tidak akan ada seorang pun pejuang Hamas yang akan terselamat jika tidak mengikut arahan ini.
“Ini amaran terakhir. Bagi pemimpin Hamas, sekarang masanya meninggalkan Gaza selagi diberikan peluang.
“Kepada rakyat Gaza, masa depan yang indah menanti,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi