Oleh Balqis Idris
BANGI, 5 RAMADAN — Pembela Tanah Air (PETA) menggesa siasatan terperinci dijalankan membabitkan seorang Pegawai Tribunal Rayuan Kastam yang ditemui mati dalam keadaan mencurigakan semalam.
Sekretariatnya, Chegubard berkata keputusan pantas pihak berkuasa menimbulkan persoalan rakyat apabila keadaan mayat mangsa dilihat tidak selari dengan dakwaan bunuh diri.
“Amat mengejutkan, polis segera mengumumkan hanya sebagai kematian mengejut iaitu bunuh diri tanpa unsur jenayah.
“Dengan jawatan beliau dan cara kematian yang ditemui iaitu kaki dan leher terjerut oleh cable tie namun tiada unsur jenayah, sangat pelik,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini.
Chegubard, nama popular Badrul Hisham Shaharin turut menggesa rakyat untuk menekan pihak berkuasa agar siasatan terperinci dapat dijalankan.
Katanya, kes ini sukar diterima sebagai kematian mengejut kerana logiknya seseorang tidak boleh mengikat kaki sendiri sebelum menjerut leher dengan cable tie.
“Rakyat digesa untuk mendesak pihak berkuasa bagi menuntut keadilan bagi si mati dan keluarganya. Siapa sebenarnya yang ingin dilindungi?
“Jelas ada sesuatu yang tidak kena, [mayat] berusia 45 tahun yang berjawatan tinggi boleh bunuh diri dan membawa cable tie datang ke pejabat.
“Ikat kaki sendiri dan kemudian jerut leher. Mengarut!” katanya.
Ketua Polis Kuala Lumpur dalam kenyataan semalam mengesahkan mayat mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring di lantai dengan kaki dan leher terjerut menggunakan cable tie.
Polis menerima panggilan kecemasan sekitar jam 10:56 pagi membabitkan kematian seorang pegawai Tribunal Rayuan Kastam di Kementerian Kewangan (MoF), Putrajaya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi