Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 5 RAMADAN — Kecewa dengan penghinaan yang semakin menjadi-jadi terhadap agama Islam, seorang peniaga di Kuala Selangor tampil membuat laporan polis.
Hariz Kasin berkata laporan itu dibuat susulan video tular seorang lelaki bukan Melayu melemparkan penghinaan terhadap agama Islam.
“Dari pagi panas hati bila timbul isu penghinaan agama, lihat sahaja Facebook semua cerita pasal kes penghinaan agama.
“Petang tadi [semalam] tengok pula video seorang lelaki India hina agama Islam. Kamu tidak panaskah dia kata orang perempuan pergi masjid elok jadi pelacur?
“Ini aku sudah buat laporan polis. Aku hendak tengok apa pihak berkuasa dan menteri berkaitan ambil tindakan isu ini,” katanya menerusi coretan di laman Facebook miliknya semalam.
Satu laporan difailkan Hariz semalam di Balai Polis Jeram, Selangor berhubung video penghinaan Islam oleh seorang lelaki bukan Melayu.
Video hampir empat minit itu menunjukkan seorang lelaki tidak berbaju mengecam amalan solat dan menyamakannya dengan perbuatan terkutuk dalam agama.
Hariz berkata laporan itu sengaja dibuat bagi menilai kecekapan pihak polis dalam mengendalikan kes berkaitan penghinaan terhadap agama Islam.
Katanya, pihak berkuasa seharusnya tidak bersikap pilih kasih dalam menyiasat kes penghinaan agama yang mengundang rasa kurang senang masyarakat di Malaysia.
“Bab tiga penyampai radio itu laju ambil tindakan. Laporan siasatan sudah siap sampai ke Peguam Negara. Laju buat kerja, bagus.
“Salah tetap salah tetapi bab penghinaan terhadap agama Islam, terang lagi bersuluh agak lambat tindakan,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi