Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 4 RAMADAN — Menteri Luar Israel menggesa pasukan pejuang Hamas berundur jika mahu beralih ke fasa dua gencatan senjata.
Gideon Sa’ar berkata semua tahanan Israel juga perlu dibebaskan jika mahu perjanjian baharu dimeterai hari ini, lapor The Sentinel.
“Kami tidak mempunyai perjanjian berhubung fasa dua. Kami mahu pengunduran penuh tentera dari Gaza. Hamas dan kumpulan Jihad Islam perlu keluar.
“Bebaskan tahanan kami dan perjanjian dapat dimeterai esok (hari ini),” katanya mengulas perkembangan baharu gencatan senjata.
Rundingan fasa dua gencatan senjata menemui jalan buntu selepas perantara dari Qatar dan Mesir tidak mencapai persetujuan.
Israel mahu melanjutkan fasa pertama gencatan senjata yang berakhir minggu lalu namun Hamas berkeras untuk beralih ke fasa dua.
Perjanjian fasa dua gencatan senjata menuntut pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza dan semua tahanan dibebaskan.
Akibat tiada persetujuan dicapai, Israel menyekat bantuan kemanusiaan memasuki Gaza yang mengakibatkan peningkatan harga barang.
Mengulas sekatan itu, Sa’ar berkata sekatan itu dibuat bagi mengelak barang bantuan disalah guna Hamas.
Katanya, bantuan kemanusiaan dijadikan pendapatan utama Hamas dan sumber bagi membina semula keupayaan pasukan itu.
Sementara itu, Hamas menegaskan sekatan bantuan kemanusiaan tidak akan membawa kepada pertukaran tahanan sebagaimana diharapkan Israel.
Katanya, Israel diseru kembali kepada perjanjian gencatan senjata asal yang terdiri daripada tiga fasa.
“Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berilusi jika beliau berfikir matlamatnya akan tercapai dengan kaedah kebuluran di Gaza,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi