Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 2 RAMADAN — Majlis Bandaraya Seremban (MBS) memaklumkan enam pintu penduduk di Rumah Pangsa Kos Rendah Lobak ditanggalkan minggu lalu.
MBS dalam satu kenyataan hari ini berkata ia susulan kegagalan penduduk melunaskan sewa yang tertunggak di antara RM17,000 hingga RM34,000.00.
“MBS mengambil tindakan menanggalkan semua pintu di rumah terlibat sebagai pengajaran supaya mereka segera menjelaskan tunggakan.
“Penyewa masih dibenarkan tinggal di premis berkenaan untuk sementara waktu sebelum dapat menjelaskan tunggakan atau mendapatkan kediaman di tempat lain,” katanya.
Operasi yang dijalankan bersama ahli majlis dan kakitangan MBS turut dibantu oleh anggota dari Balai Polis Jalan Campbell.
Tiada insiden tidak diingini berlaku dalam penguatkuasaan itu selepas MBS melakukan pelbagai cara memudahkan penyewa membuat bayaran sewa serendah RM150.
MBS berkata pelbagai usaha sudah dilakukan namun masih terdapat ramai penyewa mengambil sikap sambil lewa untuk menjelaskan tunggakan sewa.
Katanya, notis penamatan perjanjian penyewa terlibat tamat pada 31 Januari lalu dan tempoh pengosongan rumah juga sudah berakhir pada 26 Februari lepas.
“MBS akan meneruskan operasi ini secara berkala dari semasa ke semasa.
“MBS meminta penyewa di rumah PPR Paroi dan PPRT Lobak menjelaskan bayaran sewaan mengikut masa yang sudah ditetapkan,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi