‘Can I advise you something’ pun jadi bukti, Latheefa selar Azam

Oleh Wartawan TV Pertiwi 

 

KUALA LUMPUR, 25 SYAABAN — Peguam kanan, Latheefa Koya menyelar Tan Sri Azam Baki kerana enggan menerima video skandal rasuah Sabah sebagai bukti. 

 

Latheefa, 52, berkata audio Datin Seri Rosmah Mansor menegur suaminya Datuk Seri Najib Razak masih sah sebagai bukti walau sudah disunting, lapor Malaysiakini. 

 

“Rakaman audio itu digunakan sebagai bukti di mahkamah. Ia dipotong, bukan audio penuh dan ia digunakan di mahkamah sebagai bukti,” katanya. 

 

Bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata video pendedahan skandal rasuah Sabah banyak memberikan fakta berhubung kes itu. 

 

Katanya, video berkenaan wajar menjadi elemen penyiasatan SPRM dengan terdapat pihak mengakui terlibat dalam rasuah itu. 

 

“Sekurang-kurangnya, kamu mesti menjalankan siasatan. Bagaimana mungkin ada orang yang mengaku semua ini, tetapi tiada siasatan? Apa alasan kamu?

 

“Untuk mencadangkan bahawa tidak boleh menggunakan video itu kerana ia disunting, bolehkah kita bayangkan beratus-ratus video di mana jenayah dilakukan, ia juga disunting?

 

“Kita melihat seseorang berlari dengan pisau, dan adakah kita berkata, ‘saya tidak boleh menyiasat kerana itu disunting’. Anda tidak boleh berbuat demikian,” katanya. 

 

Latheefa berkata Azam wajar menerima pendedahan video itu untuk siasatan dan selebihnya menyerahkan mahkamah untuk membuat keputusan. 

 

Katanya, SPRM boleh memulakan siasatan berhubung butiran dalam video berkenaan seperti suspek dan keterangan pihak yang berkaitan. 

 

“Kita tidak bercakap tentang bukti di mahkamah, kita bercakap tentang menggunakan apa sahaja yang anda ada untuk memulakan siasatan.

 

“Mereka akan memanggil sesiapa yang membuat video itu, orang yang mengaku dan semua orang yang bercakap. Panggil mereka dan tanya apa yang berlaku dalam video ini,” katanya.

 

Ikuti media sosial TV PERTIWI:

 

https://x.com/TvPertiwi

https://www.instagram.com/tvpertiwiofficial/

https://t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Dapat telefon Trump, Nazri nafi Prabowo lebih lantang sokong Palestin

Next Post

Jangan usir, pensyarah gesa URA lindung hak pemilik asal

Related Posts