Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 23 SYAABAN — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan gula-gula ‘gummy’ berbentuk mata yang menyebabkan kematian seorang kanak-kanak kelmarin merupakan produk terlarang.
KKM berkata produk berkenaan menyalahi keperluan pelabelan yang diperuntukkan di bawah Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983.
“KKM menegaskan bahawa produk ini adalah dilarang penjualannya di semua platform atas talian dan pasaran domestik.
“Tindakan penguatkuasaan termasuk rampasan produk ini akan dibuat berdasarkan peraturan tersebut.
“Orang ramai terutama ibu bapa diminta untuk memantau dan menasihati supaya lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan terutama yang mempunyai risiko tercekik,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Adik Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin menghembuskan nafas terakhirnya kelmarin selepas dilaporkan tercekik gula-gula ‘gummy’ pada Selasa.
Allahyarham sebelum itu menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang selepas rebah di Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), di Sungai Dua, Butterworth.
Sehubungan itu, KKM menggesa ibu bapa dan penjaga agar lebih berjaga-jaga dalam memantau pemakanan anak-anak pada masa hadapan.
Katanya, KKM akan terus menjalankan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan serta mengambil langkah-langkah pencegahan.
“Bahaya tercekik adalah satu risiko yang signifikan, terutama dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.
“Risiko ini meningkat apabila makanan tidak dikunyah dengan sempurna atau ditelan secara keseluruhan.
“Insiden tercekik lebih kerap berlaku dengan makanan yang keras, kenyal, kecil dan berbentuk bulat yang mudah tersekat di saluran pernafasan,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: