Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 21 SYAABAN — Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan meneruskan vaksinasi polio di Gaza dengan menyasarkan lebih 590,000 kanak-kanak di wilayah itu.
Program lima hari yang bermula Sabtu ini akan memfokuskan kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah selepas wabak itu dikesan dalam sampel air yang diambil di Gaza.
“Keadaan semasa di Gaza termasuk khemah yang padat, air tercemar dan tiada sanitasi menjadi ruang ideal penyebaran virus polio.
“Dengan pergerakan populasi besar-besaran akibat pelaksanaan gencatan senjata, situasi itu lebih membiakkan penyebaran virus.
“Dengan virus polio yang masih tersebar di Gaza, vaksin tambahan diperlukan bagi kanak-kanak untuk menambahkan imuniti mereka,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Bayi berusia 10 bulan dilaporkan lumpuh Ogos tahun lalu akibat jangkitan polio dan tiada kes baru dilaporkan.
Virus polio mengakibatkan kecacatan serta kelumpuhan di kalangan kanak-kanak bawah umur lima tahun yang merebak melalui air tercemar.
Program vaksinasi pernah berlangsung pada September dan Oktober tahun lalu namun beberapa kawasan di utara Gaza tidak menerima dos kedua kerana masalah akses.
Dua program itu mencapai kejayaan lebih 95 peratus namun kira-kira 7,000 kanak-kanak belum menerima dos lengkap akibat serangan Israel.
WHO berkata sampel air yang diambil di Deir Al-Balah dan Khan Yunis pada Disember tahun lalu dan Januari lepas menunjukkan penularan virus polio.
Katanya, program vaksinasi yang bermula Sabtu ini akan memfokuskan kanak-kanak yang belum menerima vaksin lengkap virus itu.
“Penggunaan ubat oral akan menghentikan penyebaran virus dengan program seterusnya dirancang pada April.
“Program yang dijalankan Kementerian Kesihatan Palestin disokong WHO dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang lain.
“Vaksin polio adalah selamat dan kanak-kanak boleh mengambilnya pada bila-bila masa. Setiap dos memberi perlindungan tambahan terutama ketika wabak,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: