Oleh Kamil Awang
KUALA LUMPUR, 21 SYAABAN — Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa Malaysia akan sentiasa memberi sokongan kepada Hamas.
Bekas duta Malaysia ke AS berkata walau kenyataan itu tidak disenangi Jabatan Negara tersebut, Malaysia tetap bertegas AS dan Israel adalah pengganas sebenar.
“Dalam demokrasi, apabila rakyatnya memilih Hamas, kita di Malaysia sama ada kita suka atau tidak, kita kena baiklah dengan pemimpin yang memimpin Hamas.
“Apatah lagi pendirian tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan Palestin, As-Syahid Ismail Haniyeh adalah bekas pemimpin Hamas yang dipilih oleh rakyat Palestin.
“Dalam keadaan susah, rakyat tetap sokong beliau. Rakyat Palestin tahu kalau sokong Hamas, mereka akan dibom, mereka tidak peduli,” katanya dalam wawancara khas bersama TV Pertiwi.
Beliau diminta mengulas arahan Jabatan Negara AS yang memanggilnya untuk memberi penjelasan berhubung sokongan Malaysia kepada Hamas.
Katanya, Malaysia mempunyai alasan kukuh untuk menyokong perjuangan Hamas selari dengan apa yang diputuskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Hamas mewakili rakyat Palestin dalam pilihan raya aman dan bebas. Mereka dipilih rakyat secara demokrasi, jadi kita kena hormat. Itu jawapan saya kepada Jabatan Negara.
“Sekatan secara sebelah pihak, kita tidak hormat. Kalau pelbagai pihak seperti PBB, itu kita hormat sebab kita ahli PBB. PBB putuskan Palestin ada hak dan Hamas bukan pengganas.
“Pengganasnya Amerika. Mereka baik dengan Israel, mereka punya pasallah. Kita menganggap Israel sebagai pengganas. Itu pendirian kita,” katanya.
Mohamed Nazri berkata Malaysia tegas dalam menyatakan sokongan kepada Hamas dan ia tidak boleh dihalang AS.
Katanya, tiada keperluan Malaysia menghormati pendirian AS yang rakus memberikan sokongan dan bantuan kepada Israel.
“Anwar jumpa Haniyeh di Qatar, saya kena panggil, saya kata itu hak kita. Tidak mungkin Perdana Menteri hendak jumpa Haniyeh kena minta kebenaran Amerika.
“Saya cuma menyatakan pendirian kita. Saya beritahu pendirian Malaysia mesti dipertahankan. Kalau mereka tidak suka saya, biarlah. Saya bukan hendak duduk di AS pun.
“Jabatan Negara tidak suka pendirian Malaysia, saya beritahu Malaysia pun tidak suka pendirian mereka tetapi duta mereka di Kuala Lumpur tidak dipanggil,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: