Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 20 SYAAABAN — Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menyelar Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) kerana membangkitkan kembali isu Menteri Hal Ehwal Bukan Islam.
Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin itu berkata banyak keistimewaan dinikmati bukan Islam di negara ini termasuk jumlah rumah ibadat yang berlebihan.
“Kuil Hindu sahaja beratus ribu. Angka ini sudah menenggelamkan bilangan surau dan masjid.
“Kalau dicampurkan dengan gereja, tokong, rumah sembahan Sikh, sudah menghampiri 500,000. Sedangkan masjid dan surau hanya ada sekitar 50,000.
“Dalam keadaan Islam adalah agama Persekutuan, rumah ibadat Islam tetap minoriti bilangannya walaupun penduduknya adalah majoriti,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya semalam mengulas sokongan MCCBCHST terhadap portfolio Menteri Hal Ehwal Bukan Islam.
Mohd Ridhuan berkata tiada keperluan mewujudkan Menteri Hal Ehwal Bukan Islam di negara ini di saat semua kaum merayakan hari kebesaran masing-masing dengan meriah.
Katanya, sambutan perayaan bukan Islam di Malaysia berlebihan walaupun majoriti rakyat negara ini terdiri daripada umat Islam.
“Seperti Tahun Baharu Cina baru-baru ini, Malaysia sudah jadi macam Hong Kong dan China. Di China pun tidak seCina ini. Malaysia jadi terpaling China.
“Thaipusam yang baharu sahaja berlalu, negara ini menjadi lebih India dari India. Di India pun tidak sehebat di sini. Paling sadis, pemimpin Melayu Islam negara ini sanggup ke kuil untuk bersama.
“Bila tiba Krismas, terpaling Kristian. Sehingga bangunan kerajaan pun terpaling Kristian. Tenggelam habis identiti negara ini yang meletakkan Islam dan Melayu sebagai identiti,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: