Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 20 SYAABAN — Ayatollah Ali Khamenei menegaskan Israel dan Amerika Syarikat (AS) tidak akan berjaya dalam pelan pengusiran rakyat Gaza.
Pemimpin tertinggi Iran itu berkata 18 bulan Taufan Al-Aqsa membuktikan Israel tidak berjaya menawan Palestin walau mendapat bantuan AS, lapor Press TV.
“Rancangan itu tidak ke mana. Mereka yang kononnya mahu menghapuskan pejuang 18 bulan lalu kini hanya menerima sebilangan kecil tahanan.
“Sebaliknya Palestin menerima kepulangan rakyatnya jauh lebih besar,” katanya ketika mengadakan pertemuan bersama kumpulan Jihad Islam Palestin semalam.
Ayatollah berkata apa yang ditunjukkan pejuang Palestin amat menakjubkan terutama dalam menundukkan Israel dan AS untuk gencatan senjata.
Katanya, kumpulan pejuang Palestin masih kental berjuang menentang musuh dan merencana proses gencatan senjata sehingga ke hari ini.
“Kejayaan ini meletakkan satu penanda aras baharu buat kumpulan pejuang. Kini pandangan masyarakat antarabangsa berpihak kepada Palestin.
“Tiada rancangan yang akan berjaya tanpa kebenaran rakyat dan pejuang Palestin,” katanya.
Setiausaha Agung Jihad Islam Palestin pula merakamkan penghargaan kepada Iran atas sokongan berterusan dalam penentangan Israel di Gaza.
Ziyad Al-Nakhaleh berkata sokongan tidak berbelah bahagi juga ditunjukkan bekas pemimpin Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah yang terkorban pada September tahun lalu.
“Pejuang Palestin secara efektif menentang Barat dan AS sejak 18 bulan lalu walaupun berlaku pertempuran yang tidak adil, banyak kejayaan dicapai.
‘Kami tidak akan melupakan perjuangan ini dan akan terus memilih jalan perjuangan serta ketenteraan,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: