Oleh Kamil Awang
KOTA DAMANSARA, 18 Feb — Bapa kepada pelajar cemerlang bidang perakaunan, Allahyarham Aysar Zahran Saiful Alimin berharap siasatan polis mampu mengheret pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Saiful Alimin Mohd Mokhtar berkata pemergian anaknya pada 2 Februari lalu diredainya namun pihak yang bertanggungjawab perlu dihukum.
“Walaupun reda kerana kami anggap Aysar itu pinjaman dari Allah, kami berharap perundangan dapat dijalankan secara telus supaya dapat dibawa pelaku ke mahkamah.
“Sekiranya didapati bersalah, perlu dikenakan tindakan sewajarnya supaya menjadi keadilan kepada pengguna jalan raya lain.
“Kes ini bukan masalah anak kami sahaja tetapi masalah Malaysia dan rakyatnya,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Aysar Zahran, 20, meninggal dunia 2 Februari lalu selepas terlibat dalam kemalangan di di Jalan Hulu Langat-Ampang.
Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Al-Muttaqin dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 16, Hulu Langat, Selangor.
Saiful Alimin, 58, berkata pihak polis diminta tidak menghentikan siasatan terhadap kes kemalangan anaknya sebagaimana kes yang pernah berlaku sebelum ini.
Katanya, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain diminta memastikan agar anggotanya mempunyai kelengkapan cukup untuk melengkapkan siasatan.
“Apabila berlaku sesuatu kemalangan, kita memang mengharapkan kes kemalangan ini diselesaikan dengan segera dan dibawa ke muka pengadilan.
“Sebelum ini, saya mendapat tahu banyak kes kemalangan yang statusnya tiada tindakan lanjut (NFA). Mungkin polis tidak cukup anggota atau peralatan forensik.
“Kepada KPN, kalau tidak cukup peralatan mintalah pada kerajaan hari ini tambah peralatan dan anggota. Berilah keadilan kepada kami rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Saiful Alimin berkata pihaknya akur dengan apa juga hukuman yang akan dijatuhkan mahkamah.
Katanya, Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan menetapkan jika suspek didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM50,000.
“Bukan kita hendak tentukan hukuman tetapi siasatan wajib dilengkapkan supaya kertas siasatan dapat dimajukan kepada Jabatan Peguam Negara dengan segera,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: