Oleh Kamil Awang
BANGI, 15 SYAABAN — Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong menyifatkan tiada keperluan mewujudkan portfolio Menteri Hal Ehwal Bukan Islam di Malaysia.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara itu berkata penganut agama bukan Islam di Malaysia bukanlah kumpulan etnik agama sebagaimana keimanan teguh ditunjukkan umat Islam.
“Rata-rata orang bukan Melayu di Malaysia ini sama ada Cina atau India, mereka bukan kelompok etnik agama. Orang Cina lebih kepada etnik bahasa.
“Lihat bagaimana mereka mempertahankan bahasa Cina melalui pendidikan sekolah Cina. Kita jarang melihat orang Cina mempertahankan agama Buddha atau agama lain.
“Mereka bukan kelompok etnik agama. Ini berlainan dengan orang Melayu. Orang Melayu etnik agama. Lihat bagaimana mereka mempertahankan agama Islam mati-matian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu wawancara khas bersama TV Pertiwi semalam mengulas cadangan pelantikan Menteri Hal Ehwal Bukan Islam oleh DAP.
Ahli Parlimen DAP kelmarin mencadangkan agar diwujudkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) portfolio Hal Ehwal Bukan Islam.
Chow Yu Hui berkata dua menteri agama di bawah JPM boleh membincangkan sesuatu isu secara lebih berkesan bagi mengelak sebarang kontroversi tidak diingini.
Kok Seong berkata Malaysia tidak memerlukan Menteri Hal Ehwal Bukan Islam kerana sebahagian daripada mereka bukan pengikut setia agama tertentu.
Katanya, Malaysia juga tidak mempunyai masalah atau kemelut meruncing di kalangan pengikut agama bukan Islam yang memerlukan seliaan seorang menteri.
“Orang Cina dan India bukan etnik agama maka tiada keperluan mendesak untuk diwujudkan satu menteri yang menjaga agama-agama bukan Islam.
“Ramai yang tidak beragama pun dalam kalangan bukan Melayu ini. Mereka yang beragama pun bukan mereka berpegang kuat pada agama Buddha dan sebagainya.
“Jadi pandangan peribadi saya tiada keperluan mendesak untuk diadakan portfolio itu,” katanya.
Beliau berkata isu pelantikan menteri berkenaan lebih kepada desakan kumpulan politik berhaluan kiri yang menuntut kesaksamaan antara agama.
Katanya, tuntutan itu sesuatu yang tidak wajar kerana mempersoalkan bidang kuasa Menteri Hal Ehwal Agama Islam yang sudah lama diamalkan di Malaysia.
“Inilah masalahnya tentang politik kiri ini. Semua hendak sama-rata. Wajar atau tidak, mahu sama-rata.
“Sebab ada portfolio Islam mahu portfolio bukan Islam sedangkan tidak ada banyak isu pun tentang agama bukan Islam ini.
“Dalam kalangan mereka sendiri pun tidak ada isu sebab rata-rata mereka bukan kelompok etnik agama,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: