Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 15 SYAABAN — Pemuda UMNO Sabah membantah cadangan Ahli Parlimen DAP Chow Yu Hui yang mahu mewujudkan Menteri Hal Ehwal Bukan Islam.
Bendaharinya, Datuk Seri Dr Anil Sandhu berkata Chow membangkitkan isu sensitif berkaitan agama yang tidak pernah menjadi masalah di Malaysia.
“Ia adalah satu isu yang amat sensitif memandangkan Islam adalah agama rasmi negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Majoriti rakyat Malaysia beragama Islam dan selama ini urusan agama Islam diurus dengan baik tanpa menjejaskan kebebasan beragama penganut agama lain.
“Cadangan ini tidak perlu kerana kebebasan beragama sudah lama terjamin di negara ini tanpa sebarang diskriminasi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau mengulas cadangan Ahli Parlimen Raub kelmarin yang mahu mewujudkan satu lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Hal Ehwal Bukan Islam.
Chow berkata dua menteri agama di bawah JPM boleh membincangkan sesuatu isu secara lebih berkesan bagi mengelak sebarang kontroversi tidak diingini.
Dr Anil berkata apa yang dicadangkan Chow itu boleh menimbulkan kekeliruan dalam pentadbiran dan membuka ruang kepada ketidakstabilan sosial.
Katanya, kerajaan negeri tertentu mempunyai portfolio hal ehwal bukan Islam yang berfungsi dalam skop negeri masing-masing.
“Perpaduan sedia ada harus diperkukuhkan dan bukannya dengan pemisahan portfolio menteri yang boleh membawa kepada salah faham dalam pengurusan agama.
“Saya berpandangan peranan menteri sedia ada sudah cukup inklusif dalam memastikan semua pihak dapat mengamalkan agama masing-masing dengan harmoni.
“Saya menyeru agar semua pihak menghormati sensitiviti agama di negara ini dan tidak membangkitkan isu-isu yang boleh mencetuskan perpecahan dalam masyarakat,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: