Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 15 SYAABAN — Hamas menegaskan pihaknya bersedia meneruskan pembebasan tahanan esok jika Israel akur kepada syarat perjanjian gencatan senjata.
Jurucakapnya, Abdul Latif Al-Qanoua berkata negara Mesir dan Qatar berjanji untuk memastikan Israel kembali patuh kepada perjanjian itu, lapor Anadolu.
“Israel melanggar perjanjian itu berkali-kali sama ada dengan menghalang kepulangan orang yang dipindahkan atau menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan.
“Jika Israel tidak mematuhi syarat perjanjian, proses pertukaran tebusan tidak akan berlaku,” katanya mendakwa Hamas akur kepada perjanjian itu.
Perdana Menteri Israel pada Selasa menegaskan gencatan senjata di Gaza akan terhenti jika tiada tahanan dibebaskan esok.
Benjamin Netanyahu berkata Israel akan meneruskan usahanya memburu pejuang Hamas sehingga pasukan itu ditewaskan di bumi Gaza.
Netanyahu mengeluarkan kenyataan itu selepas bermesyuarat bersama menteri-menteri kanan dan mendapat sokongan penuh Kabinet Israel.
Abdul Latif berkata terdapat “tanda-tanda positif” mengenai komitmen Israel terhadap perjanjian gencatan senjata yang sudah berlangsung selama 45 hari.
Katanya, delegasi yang diketuai pemimpin kanan Hamas, Khalil Al-Hayya sudah mengadakan perbincangan dengan Mesir dan Qatar berhubung pelaksanaan gencatan senjata.
“Hamas komited dengan apa yang dicapai, tetapi tidak akan menerima sebarang pelanggaran Israel yang mungkin mengganggu proses pertukaran,” katanya.
Hamas sebelum ini mendakwa Israel melanggar gencatan senjata selepas menembak mati beberapa penduduk Gaza dan melengahkan bantuan kemanusiaan.
16 daripada 33 tahanan sudah dibebaskan Hamas selepas 45 hari gencatan senjata di antara Hamas dan Israel.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump turut memberi amaran agar Hamas membebaskan tahanan menjelang esok jika tidak mahu “neraka” tercetus di Gaza.
Sementara itu, forum keluarga tebusan Israel yang berhimpun di Tel Aviv menggesa Netanyahu tidak menamatkan gencatan senjata.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: