Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 14 SYAABAN — Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menggesa umat Islam tidak lagi berdiam diri selepas wujud cadangan melantik menteri hal ehwal bukan Islam.
Presidennya, Shuhaib Ar-Rumy Selamat berkata cadangan itu merupakan langkah pertama meruntuhkan keluhuran institusi Islam di Malaysia.
“Cadangan ini adalah bahaya besar kepada Islam dan Perlembagaan negara. Jika dibenarkan, ini akan membuka ruang kepada lebih banyak lagi tuntutan tidak masuk akal pada masa akan datang.
“Tidak mustahil suatu hari nanti, mereka akan tuntut untuk samakan agama lain dengan status Islam sebagai agama negara.
“Ummah mesti bangkit dan menentang cadangan ini. Jangan biarkan pihak tertentu mempermainkan Perlembagaan menggugat asas negara. Islam mesti dipertahankan!” katanya.
Beliau mengulas cadangan Ahli Parlimen DAP Chow Yu Hui agar mewujudkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) portfolio Hal Ehwal Bukan Islam.
Yu Hui berkata dua menteri agama di bawah JPM boleh membincangkan sesuatu isu secara lebih berkesan bagi mengelak sebarang kontroversi tidak diingini.
“Saya mencadangkan agar portfolio Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua, satu khusus untuk urusan agama Islam dan satu lagi untuk hal ehwal bukan Islam.
“Menteri ini boleh melantik seorang pemimpin yang dihormati dalam kalangan masyarakat bukan Muslim untuk menguruskan hal ehwal bukan Islam,” katanya.
Shuhaib Ar-Rumy berkata apa yang disuarakan pemimpin DAP itu hanyalah satu taktik untuk mendapatkan lebih kuasa dalam kerajaan dan mengikis peranan Islam secara beransur-ansur.
Katanya, cadangan untuk mewujudkan Menteri Hal Ehwal Bukan Islam adalah satu pengkhianatan terhadap perjanjian kontrak sosial.
“Cadangan mewujudkan jawatan Menteri Hal Ehwal Bukan Islam bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan malah merupakan serangan terbuka mencabar kedudukan Islam.
“Cadangan ini bermaksud untuk mengiktiraf agama lain secara rasmi dalam pentadbiran negara, sesuatu yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan.
“Mewujudkan Menteri Hal Ehwal Bukan Islam di peringkat persekutuan bukan sahaja tidak berasas tetapi juga tidak diperlukan,” katanya.
Beliau menegaskan Islam tidak boleh disamakan dengan agama lain dalam urusan pentadbiran negara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.
Katanya, apa yang dicadangkan tidak hanya membangkitkan isu kesamarataan tetapi percubaan licik merosakkan kedudukan istimewa Islam dalam pentadbiran negara.
“Perlembagaan hanya memberi hak kepada agama lain untuk diamalkan, bukan untuk diinstitusikan dalam kerajaan.
“Jika kerajaan mula melantik menteri untuk agama lain, maka konsep Islam sebagai agama Persekutuan akan menjadi sia-sia.
“Perlembagaan juga menetapkan bahawa hanya Islam boleh menerima peruntukan dana awam untuk pembangunan agama,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: