Oleh Kamil Awang
BANGI, 14 SYAABAN — Institut Penyelidikan dan Strategi Antarabangsa (IRIS) menegaskan Mesir dan Jordan tidak bersungguh dalam mempertahankan rakyat Palestin.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berkata dua negara itu hanya berpura-pura dan akan tunduk kepada desakan Amerika Syarikat (AS).
“Respon menolak dan tidak bersetuju buat masa ini hanyalah jawapan politik semata-mata. Ia mungkin bukan keputusan yang akan memberi impak kepada realiti sebenar.
“Ini mungkin untuk menunjukkan mereka masih mempertahankan kedaulatan negara mereka sendiri. Rakyat mereka pun akan marah jika membawa masuk orang luar begitu saja.
“Sebenarnya negara seperti Jordan dan Mesir, mereka memang akan memenuhi strategi yang disusun AS dan Israel,” katanya kepada TV Pertiwi.
Beliau mengulas hasrat Presiden AS Donald Trump yang mahu mengusir rakyat Palestin secara kekal dari Gaza.
Trump minggu lalu yakin bakal menguasai Semenanjung Gaza selepas Israel menamatkan pertempuran yang kini mengorbankan puluhan ribu nyawa.
Katanya, rakyat Gaza akan ditempatkan di komuniti yang jauh lebih cantik dan selamat serta rumah baharu dan moden di rantau itu.
Syed Ahmad Israa’ berkata Mesir dan Jordan kini hanya berpura-pura mempertahankan Gaza kerana wilayah itu masih berada dalam penguasaan Hamas.
Katanya, impian Trump itu masih sukar terlaksana selagi pasukan penjajah Zionis tidak mampu menewaskan pejuang Hamas.
“Kalau Trump tekan lagi dan tiada penentangan daripada Gaza dan Hamas, negara-negara ini akan laksanakan cuma mereka tidak boleh zahirkan.
“Secara realiti, apa yang Trump mahu lakukan itu masih jauh. Hamas masih perlu diambil kira dan dibawa ke meja perbincangan untuk mereka pastikan tiada reaksi balas dari Hamas.
“Sebab itu kelihatan kenyataan mereka setakat ini masih 50-50,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: