Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 13 SYAABAN — Larangan Arab Saudi terhadap jemaah kanak-kanak untuk mengerjakan haji pada tahun ini mendapat reaksi bercampur-campur pemegang taruh.
Seorang pemilik agensi pelancongan di Dhaka, Bangladesh, Sajid Karim berkata pengumuman Arab Saudi itu mengecewakan, lapor Daily Star.
“Malang bagi agensi kecil seperti kami. Kebanyakan daripada kami sudah mengambil deposit daripada keluarga yang mahu menunaikan ibadah bersama anak mereka.
“Sekarang jemaah sama ada meminta wang dikembalikan atau berusaha mengatur semula perjalan mereka. Ini amat menyukarkan,” katanya.
Sajid mengulas kenyataan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi semalam melarang kanak-kanak untuk mengerjakan haji.
Kementerian itu mendakwa larangan berkenaan dibuat atas faktor keselamatan terhadap kanak-kanak selain menangani isu keselamatan semasa musim haji.
Ahli perniagaan, Maher Islam dari Dhaka turut meluahkan kekecewaan atas keputusan mengejut kerajaan Arab Saudi.
Katanya, segala persiapan sudah dilakukan terutama dari segi kewangan bagi menunjukkan anak-anak mereka kaedah menunaikan haji.
“Kami sudah menyimpan wang bertahun-tahun merancang untuk menunaikan haji sekeluarga. Saya dan isteri teruja untuk memperkenalkan haji kepada anak kami.
“Persediaan mental sudah dilakukan. Tetapi sekarang kami terpaksa mengambil keputusan sukar untuk menangguhkan ibadah ini.
“Kami akan menunggu kerajaan Arab Saudi berubah fikiran kerana kami tidak dapat membayangkan ke tanah suci tanpa anak kami,” katanya.
Sementara itu, pakar bedah, Dr Md Mamunur Rashid mendakwa impian untuk membawa dua anak perempuannya ke tanah suci kini hanya tinggal impian.
Katanya, kerajaan Arab Saudi menggunakan alasan keselamatan dan logistik meranapkan impiannya sekali seumur hidup.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: