Trump yakin Israel akan serahkan Gaza lepas tamat perang

Oleh Wartawan TV Pertiwi 

 

BANGI, 8 SYAABAN — Presiden Amerika Syarikat (AS) yakin bakal menguasai Semenanjung Gaza selepas Israel menamatkan pertempuran yang kini mengorbankan puluhan ribu nyawa. 

 

Donald Trump berkata rakyat Gaza akan ditempatkan di komuniti yang jauh lebih cantik dan selamat serta rumah baharu dan moden di rantau itu. 

 

“Semenanjung Gaza akan diserahkan kepada AS oleh Israel pada akhir pertempuran. Orang Palestin akan ditempatkan di komuniti yang jauh lebih selamat dan cantik.

 

“Mereka sebenarnya akan mempunyai peluang untuk bahagia, selamat dan bebas,” katanya menerusi coretan di aplikasi Truth Social semalam. 

 

Beliau sebelum ini membayangkan untuk memindahkan rakyat Palestin di Gaza ke Jordan dan Mesir bagi membangunkan semula wilayah itu yang hancur dibedil Zionis.

 

Hasrat itu bagaimanapun ditentang negara-negara Arab dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkannya usaha yang melanggar undang-undang antarabangsa.

 

Trump berkata AS akan bekerjasama dengan pasukan pembangunan yang hebat dari seluruh dunia untuk memulakan pembinaan yang akan menjadi salah satu perkembangan terbesar.

 

Katanya, pembangunan yang paling menakjubkan di muka bumi itu tidak akan melibatkan askar AS dalam memastikan kestabilan serantau. 

 

Jurucakap Hamas, Hazem Qassem menyifatkan cadangan Trump itu sebagai satu deklarasi untuk merampas tanah Gaza yang bertentangan dengan Konvensyen Geneva 1949.

 

Katanya, Sidang Kemuncak Arab perlu segera diadakan bagi menentang cadangan Trump memindahkan rakyat Palestin keluar dari Gaza.  

 

Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel memaklumkan beliau sudah mengarahkan tentera Zionis untuk menyediakan rancangan membolehkan penduduk Gaza keluar dari wilayah itu.

 

Israel Katz berkata negara yang menentang operasi Israel seperti Sepanyol, Ireland dan Norway patut menerima penduduk Gaza ke negara mereka. 

 

“Negara-negara ini membuat tuduhan palsu terhadap Israel secara sah wajib membenarkan penduduk Gaza memasuki wilayah mereka. 

 

“Saya mengalu-alukan rancangan berani Trump. Penduduk Gaza harus diberikan kebebasan untuk meninggalkan dan berhijrah seperti yang berlaku di seluruh dunia,” katanya. 

 

Ikuti media sosial TV PERTIWI:

 

https://x.com/TvPertiwi

https://www.instagram.com/tvpertiwiofficial/

https://t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

UMNO seru parti politik henti polemik SOP acara bukan Islam

Next Post

Hannah dakwa dengar kes saman tidak jejas tugas menteri, MP

Related Posts