Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 7 SYAABAN — Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh bersetuju jika Pemuda DAP mahu menamakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada DAPST.
Ketua Pemuda UMNO itu berkata GST terbukti amalan terbaik kebanyakan negara di dunia sesuai saranan Bank Dunia.
“Kalau malu hendak guna nama GST, jangan malu dan jangan segan tukar saja nama kepada DAPST, itu pun kita boleh terima selagi mana bermanfaat untuk rakyat.
“Atau pun boleh terus nyanyi ABCDEFGST macam yang kamu nyanyi sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya menerusi coretan di laman Facebook miliknya semalam.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Pemuda DAP Lim Chun Weng yang membantah pelaksanaan GST pada masa ini kerana bimbang akan menyusahkan golongan miskin.
Katanya, Pemuda DAP perlu tampil dengan alternatif percukaian yang lebih menguntungkan negara jika menolak GST dikembalikan.
“Cadangan saya untuk memperkenalkan semula GST bagi menambahkan lagi kewangan negara dan membantu membangunkan ekonomi.
“Alhamdulilah pandangan yang sama juga diberikan oleh Bank Dunia yang terdiri daripada pakar-pakar ekonomi terkenal dunia.
“Tetapi cadangan itu ditolak oleh Pemuda DAP dan mengatakan tidak sesuai dilakukan masa kini walaupun 175 negara di dalam dunia menggunakan cukai yang sama,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: