Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 6 SYAABAN — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mengecam kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Presiden Parti Gerakan, Oh Tong Keong.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata Tong Keong mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu dan agama Islam dalam cabarannya kepada DAP.
“Kamu tidak layak menjadi warganegara kerana tidak faham kedudukan Melayu Islam yang menjadi kaum dan agama majoriti dalam negara ini.
“Kepada Tong Keong, adakah kamu faham mengenai Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang sangat jelas di situ memperuntukkan kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam?
“Adakah kamu sedar yang kenyataan kamu ini membangkitkan kemarahan orang Melayu hari ini yang selama ini tidak pernah mengacau segala apa juga urusan bangsa kamu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini mengulas kekesalan Tong Keong terhadap sikap berdiam diri DAP di dalam kerajaan.
Tong Keong berkata DAP kini menunjukkan sikap berbeza enggan mengecam pendirian UMNO yang lantang menyuarakan pembelaan terhadap Melayu dan Islam.
Katanya, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa DAP tidak pernah menentang agenda Melayu dan Islam sepanjang mesyuarat Kabinet 25 bulan lalu.
Irwan Fahmi berkata kenyataan Tong Keong itu wajar dipersoalkan kerana cuba menghasut terhadap hak dan keistimewaan orang Melayu.
Katanya, Tong Keong dilihat cuba menjadi batu api mempersoalkan usaha kerajaan hari ini membela nasib orang Melayu dan kepentingan Islam.
“Hari ini kamu persoalkan tentang kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam malah kamu menjadi batu api menghasut orang Cina menyatakan tidak puas hati kepada orang Melayu.
“PERKASA ingin berikan amaran kepada Tong Keong, jangan cuba curahkan minyak ke atas kemarahan orang Melayu hari ini dengan kenyataan biadap kamu itu.
“PERKASA ingin ingatkan Tong Keong untuk fahamkan diri dengan Kontrak Sosial yang sudah menjadikan rakyat berbilang kaum di negara ini hidup aman dan damai,” katanya.
Beliau mengingatkan Tong Keong agar tidak menjadi hero dalam usaha memecah-belahkan perpaduan kaum yang sudah terbina hari ini.
Katanya, PERKASA menghormati kepelbagaian kaum di Malaysia dalam mewujudkan suasana aman dan harmoni memacu kemajuan negara.
“PERKASA berharap kerajaan lebih serius dalam mempertahankan apa juga perkara dalam Perlembagaan Persekutuan lebih-lebih lagi melibatkan kaum Bumiputera dan Islam.
“Jika ada pihak yang mempersoalkan, tindakan tegas harus dikenakan sebagai pengajaran dan bukannya hanya menjatuhkan hukuman kepada sesuatu kaum sahaja,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: