Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 6 SYAABAN — Presiden Amerika Syarikat (AS) berkeras mengusir rakyat Palestin dari Gaza untuk ditempatkan secara kekal di negara jiran.
Donald Trump berkata AS akan membangunkan Gaza secara “bertanggungjawab” dengan membersihkan runtuhan dan saki-baki bom yang tinggal, lapor CNN.
“Kami akan memilikinya dan bertanggungjawab membersihkan semua bom yang tidak meletup dan senjata berbahaya di kawasan itu.
“Meratakan kawasan itu, menghapuskan bangunan yang musnah, mencipta pembangunan ekonomi yang akan menyediakan peluang pekerjaan.
“Begitu juga perumahan tanpa had kepada penduduk di kawasan itu dengan melakukan sesuatu yang betul dan berbeza,” katanya kepada pemberita di Washington, AS semalam.
Beliau sebelum ini membayangkan untuk memindahkan rakyat Palestin ke Mesir dan Jordan dalam usaha membangunkan semula Gaza.
Cadangan itu bagaimanapun dibantah keras Mesir dan Jordan yang mahu rakyat Palestin untuk terus berada di Gaza mempertahankan tanah bersejarah itu.
Trump berkata AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza dan negara itu akan menguruskan wilayah itu dengan baik.
Katanya, rakyat Palestin perlu dipindahkan secara kekal ke negara berhampiran akibat kemusnahan teruk di Gaza.
“Saya melihat pemilikan jangka panjang dan saya percaya ia akan membawa kestabilan besar kepada bahagian Asia Barat malah mungkin kepada seluruh rantau itu.
“Ini bukan keputusan mudah. Semua orang menyukai idea AS memiliki tanah itu, membangunkannya dan mencipta ribuan pekerjaan.
“Jika kita dapat mencari tanah yang sesuai dan membina tempat tinggal yang cantik untuk mereka, itu pasti lebih baik daripada mereka kembali ke Gaza,” katanya.
Cadangan ini bagaimanapun ditentang kuat pemimpin kanan Hamas, Sami Abu Zuhri yang menyifatkan sebagai cubaan mengusir rakyat Gaza.
“Kami menganggap cadangan ini sebagai resipi mencetuskan kekacauan dan ketegangan di rantau ini kerana rakyat Gaza tidak akan membiarkannya berlaku,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI:
https://www.instagram.com/tvpertiwiofficial/
https://t.me/tvpertiwi