Tok Mat jamin ‘tiada anak berlapar’, setakat Malaysia bantu Gaza

Oleh Wartawan TV Pertiwi 

 

BANGI, 5 SYAABAN — Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan tiada anak yang akan “mati kelaparan” susulan cadangan kerajaan untuk membangunkan semula Gaza.

 

Menteri Luar itu berkata, Malaysia sudah lama bergiat aktif dalam pembangunan Palestin terutamanya dalam menentang penjajahan Zionis sejak 70 tahun lalu. 

 

“Minggu lepas ada orang mengatakan bahawa umpama ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’. Anak di rumah tidak mati lapar pun dan kita tidak susu kera di hutan.

 

“Itu tanggungjawab antarabangsa kita. Malaysia merupakan negara yang dari awal penubuhan negara rejim Zionis sudah pun menyatakan bantahan kita terhadap itu.

 

“Kita menyokong untuk Palestin ditubuhkan sebagai negara merdeka. Sudah 70 tahun,” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PKR Syed Ibrahim Syed Noh yang mahu penjelasan kerajaan berhubung usaha membangunkan semula Gaza. 

 

Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu menyatakan hasrat untuk sama-sama membantu dalam pembangunan semula Gaza. 

 

Perdana Menteri berkata sebuah sekolah, masjid dan hospital akan cuba dibina dengan kerjasama Jepun dalam usaha kembali membangunkan Gaza.  

 

Mohamad berkata Jepun ada menyuarakan agar Malaysia menjadi pengerusi bersama Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).

 

Katanya, persidangan peringkat pegawai yang dijadualkan pada Julai ini akan cuba diawalkan pada bulan depan atau April ini untuk tindakan segera. 

 

“Ini satu penghormatan kepada kita. Bukanlah kita hendak membina semula Gaza itu kerana ia bukan senang dan bukannya murah. 

 

“Banyak negara sepemikiran dari Barat sudah pun menyatakan mereka mahu ini dilakukan dan kita mengambil peluang ini menjadi sebahagian pengerusi bersama antara Malaysia dan Jepun.

 

“Alhamdulillah gencatan senjata sudah tercapai. Kita harap gencatan senjata ini kekal dan pembinaan semula negara Palestin di Gaza perlu kita lakukan,” katanya.

 

Ikuti media sosial TV PERTIWI:

 

https://x.com/TvPertiwi

https://www.instagram.com/tvpertiwiofficial/

https://t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hina Nabi Muhammad, PAS seru DAP anjur kelas asas Islam

Next Post

PEJUANG desak Parlimen bahas pertahan Islam, hak Melayu

Related Posts