Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 5 SYAABAN — Perdana Menteri Jepun sedang mempertimbangkan untuk membawa pesakit di Gaza menerima rawatan di negara matahari terbit itu.
Shigeru Ishiba berkata selain perubatan, Jepun merancang untuk melancarkan program khas bagi membantu mahasiswa Gaza melanjutkan pengajian di universiti negara itu, lapor Kyodo.
“Kami sedang berusaha untuk menerima mereka yang jatuh sakit atau tercedera di Gaza untuk dibawa ke Jepun,” katanya ketika berucap di Parlimen Tokyo semalam.
Ishiba berkata demikian ketika menjawab soalan seorang ahli parlimen yang bertanyakan kesediaan Jepun membantu rakyat Gaza selepas wilayah itu hancur dibedil Zionis.
Beliau ketika mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan lalu menyatakan komitmen untuk bersama membantu pembangunan Gaza.
Anwar minggu lalu menyatakan kesediaan untuk membangunkan Gaza bersama kerajaan Jepun dalam usaha membina sebuah hospital, sekolah dan masjid di wilayah itu.
Hasrat Anwar itu mendapat sokongan penuh pemimpin dan rakyat Malaysia walau terdapat suara sumbang di kalangan pemimpin veteran seperti Tan Sri Rafidah Aziz.
Bekas menteri perdagangan dan industri itu menyelar hasrat Anwar dengan menggesa tumpuan pembangunan dalam negara wajar diutamakan.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: