Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 5 SYAABAN — PAS menggesa DAP menganjurkan kelas pendidikan Islam kepada menterinya agar tidak terus menghambur penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata kelas berkenaan penting selepas terdapat pemimpin DAP yang tersalah memetik hadis Rasulullah.
“Saya ingin memberikan cadangan yang jauh lebih bagus iaitu kelas pendidikan Islam asas untuk pemimpin DAP bertaraf menteri.
“Ini kerana ada menteri daripada DAP yang boleh menyebut perkataan yang bukan hadis tetapi disebut sebagai hadis.
“Ini sebenarnya satu penghinaan kepada Nabi Muhammad dan kesilapan ini jauh lebih besar berbanding kesilapan mengenal pasti nama-nama dan kebudayaan Cina,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini mengulas cadangan Setiausaha DAP Pulau Pinang, Phee Boon Chee.
Phee dalam satu kenyataan semalam mendakwa DAP Pulau Pinang bersedia mencari dana bagi menganjurkan kursus kepada pemimpin PAS.
Katanya, kursus itu perlu selepas terdapat beberapa pemimpin PAS yang gagal membezakan nama keluarga pemimpin DAP.
Ahmad Fadhli berkali cadangan DAP itu sesuatu yang mengharukan kerana sanggup menyediakan dana untuk kursus berkenaan.
Katanya, cadangan itu membuktikan “keikhlasan” DAP Pulau Pinang walau sepatutnya penganjuran kelas pendidikan Islam perlu menjadi keutamaan.
“Saya sangat terharu dengan keikhlasan DAP Pulau Pinang ini yang sanggup mencari dana bagi membuat kelas untuk mengajar pemimpin PAS.
“Inilah bukti keikhlasan DAP Pulau Pinang yang sungguh hebat dan mengagumkan. Menitis air mata saya membaca keikhlasan ini.
“Jadi, daripada DAP Pulau Pinang buat kelas untuk pemimpin PAS, lebih baik laburkan dana yang dikutip itu untuk mengajar pemimpin DAP bertaraf menteri,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: