Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 4 SYAABAN — Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menggesa MCA mencari punca mengapa parti Cina itu masih gagal menarik sokongan bukan Melayu.
Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata permasalahan itu perlu diselesaikan MCA sebelum mempersoalkan kelantangan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh.
“MCA jangan dilihat memihak kepada individu atau pihak yang memulakan kontroversi agama atau kaum.
“MCA pun tahu jadi rasis belum menjamin bukan Melayu kembali sokong MCA. Ada sebab lain. Cari sebab sebab itu. Tepuk dada tanya selera,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini mengulas kenyataan Naib Presiden MCA Datuk Tan Teik Cheng.
Teik Cheng semalam menggesa Dr Akmal merenung kembali mengapa bukan Melayu berpandangan negatif terhadapnya.
Katanya, ucapan Dr Akmal berulang kali mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat bukan Melayu yang boleh menjejaskan hubungan dalam Barisan Nasional.
Mohd Puad berkata Dr Akmal bukanlah seseorang yang rasis namun sekadar memberi reaksi terhadap tindakan tidak wajar kepada agama Islam dan orang Melayu.
“Dr Akmal bukan rasis seperti dakwaan Naib Presiden MCA. Apa bukti orang bukan Melayu tidak suka Dr Akmal?
“Teik Cheng sebaliknya lebih wajar bertanya kenapa bukan Melayu tidak menyukai MCA? Dr Akmal respon kepada tindakan pihak tertentu yang menyentuh sensitiviti agama Islam.
“Bukan dia yang mulakan kontroversi itu. Dia bertindak atas kecuaian orang lain yang tidak sensitif. Tindakannya boikot atau laporan polis tidak melanggar undang undang,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: