Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 4 SYAABAN — Hamas mengisytiharkan Tebing Gaza sebagai “zon bencana” dilanda malapetaka yang mengancam kehidupan 2.4 juta penduduk Gaza.
Pejabat medianya berkata, kekejaman Zionis membunuh lebih 61,000 nyawa tidak berdosa dengan lebih 14,000 mayat masih berada di bawah runtuhan, lapor Xinhua.
“47,487 mangsa meninggal dunia di hospital dan 111,588 penduduk lagi dilaporkan cedera,” katanya yang turut menegaskan lebih dua juta penduduk hilang tempat tinggal.
Pasukan pejuang itu menjelaskan sepanjang 15 bulan Taufan Al-Aqsa, kira-kira 450,000 rumah musnah dengan 170,000 daripadanya tidak dapat dibangunkan semula.
Katanya, lebih AS$50 juta (RM222 juta) kerugian ekonomi yang ditanggung Gaza meliputi sektor industri, perdagangan, pertanian, kesihatan, pendidikan dan komunikasi.
“Krisis kemanusiaan di Gaza membarah selepas Israel melaksanakan sekatan terhadap bantuan makanan, air dan perubatan mengancam nyawa ratusan ribu penduduk.
“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan antarabangsa lain perlu segera menghantar bantuan kemanusiaan bagi memastikan hak orang awam terus dilindungi,” katanya.
Hamas berkata Israel melakukan jenayah perang terancang sepanjang 15 bulan lepas dengan mendapat sokongan Amerika Syarikat.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: