Oleh Wartawan TV PertiwI
BANGI, 18 SYAABAN — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mempersoalkan cadangan DAP untuk mewujudkan Akta Anti-Diskriminasi Kaum.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata DAP harus menginsafi cadangan itu yang sama sekali tidak sesuai diguna pakai di Malaysia.
“Bila kamu dan pemimpin kamu bercakap soal orang Melayu dan Islam sehinggakan beratus laporan polis dibuat, tetapi masih tiada tindakan.
“Tetapi jika bangsa Melayu mengeluarkan kenyataan yang membuat kamu terasa, dengan satu laporan sahaja polis sudah sampai untuk menahan individu tersebut.
“Adakah ini adil? Hukuman hanya dikenakan terhadap bangsa Melayu sahaja tetapi bangsa bukan Melayu, minta maaf dan dibebaskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas cadangan Lim Guan Eng menggesa Akta Anti-Diskriminasi Kaum digubal bagi mengawal pihak yang sengaja menghasut kebencian kaum.
Pengerusi DAP itu berkata akta itu penting bagi menghentikan sama ada individu mahupun ahli politik daripada terlibat dalam ucapan kebencian.
Katanya, kejadian peniaga yang enggan menjual jagung kepada masyarakat India sangat membimbangkan dan menunjukkan sentimen perkauman tidak sihat.
Irwan Fahmi berkata pemimpin DAP perlu belajar menghormati sensitiviti umat Islam jika mahu mereka terus dihormati di negara ini.
Katanya, sudah berulang kejadian pemimpin DAP yang bukan sahaja tidak menghormati sensitiviti kaum majoriti malah sanggup masuk campur urusan agama Islam.
“Jika kamu mahu orang menghormati kamu dan pemimpin DAP yang lain, kamu juga perlu belajar menghormati sensitiviti umat Islam yang ada di negara ini.
“Banyak kenyataan daripada pemimpin kamu melukai hati rakyat majoriti di negara ini termasuk bekas pengerusi DAP menghasut untuk tidak terikat dengan Perlembagaan.
“Sebelum kamu menggesa kerajaan untuk menggubal akta, kamu perlu lihat cermin dan bertanya adakah selama ini kamu menghormati kaum majoriti di negara ini,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: