Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 1 SYAABAN — Suspek yang didakwa mengugut pelawak Harith Iskander dan keluarganya didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
Lelaki berusia 31 tahun itu tiba di perkarangan mahkamah pada 9.10 pagi tadi sambil dikawal ketat anggota polis, lapor Malaysia Gazette.
Suspek yang berkaca mata dan mengenakan kemeja lengan panjang itu dituduh di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Harith dan isteri Dr Jezamine Lim turut hadir di mahkamah hari ini bagi mendengar pertuduhan yang akan dibacakan di hadapan Majistret Mageswary Subramaniam.
Polis menahan suspek minggu lalu selepas pengurus Harith membuat laporan polis berhubung ugutan yang diterima pelawak itu.
Harith dilaporkan menerima ugutan bunuh melalui panggilan telefon ketika berada di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur minggu lalu.
Dalam kejadian berasingan, pengurus Harith menerima mesej bergambar yang mengugut untuk membunuh anak-anak pelawak itu.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: