Houthi ancam serangan jika Israel cabul gencatan senjata

Oleh Wartawan TV Pertiwi

 

BANGI, 27 Rejab — Kumpulan Houthi di Yaman memberi amaran kepada Israel agar tidak mencabul perjanjian gencatan senjata di Gaza. 

 

Pemimpinnya, Abdul-Malik Al-Houthi berkata pasukan itu tidak teragak-agak untuk meneruskan serangan terhadap Israel jika perjanjian berkenaan dicabuli, lapor Nour News.

 

“Kami memantau dan mengikuti rapat pelaksanaan perjanjian gencatan senjata di Gaza serta keadaan di Jenin dan Tebing Barat.

 

“Jika rejim Zionis kembali menyerang, kami juga akan menyambung operasi,” katanya menerusi ucapan televisyen di Sana’a, Yaman semalam. 

 

Abdul-Malik berkata Amerika Syarikat (AS) dan Israel merupakan ancaman kepada negara seluruh dunia yang perlu diberikan pengawasan sewajarnya.

 

Katanya, projek Zionis merbahaya dan merosakkan maka sewajarnya perlu dijauhi dan dielakkan umat Islam.   

 

“Kami akan terus melawan kejahatan AS dan projek Yahudi Zionis. AS punca kejahatan, perang dan perhambaan.

 

“Negara Arab dan Islam perlu tahu mengikut AS dan rejim Zionis akan menjadikan mereka hamba selamanya,” katanya. 

 

Houthi minggu lalu mengumumkan gencatan senjata di Laut Merah yang menjadi laluan penting kapal perdagangan dunia.  

 

Houthi mendakwa perkembangan itu sudah dimaklumkan kepada syarikat kapal, syarikat insurans dan pihak berkuasa bahawa sekatan kapal ditarik balik.  

 

Katanya, bagaimanapun kapal yang didaftarkan di Israel atau dimiliki syarikat Israel masih berdepan risiko.

 

Houthi mula menyasarkan kapal di Laut Merah sejak tercetusnya Taufan Al-Aqsa sebagai lambang bersolidariti bersama rakyat Palestin. 

 

Antara kapal yang menjadi sasaran adalah mereka yang mempunyai kaitan dengan Israel seperti AS dan United Kingdom. 

 

Selat Bab Al-Mandeb sering menjadi lokasi tumpuan Houthi walau pasukan itu turut menerima serangan balas dari Israel dan AS.

 

Ikuti media sosial TV PERTIWI:

 

https://x.com/TvPertiwi

https://www.instagram.com/tvpertiwiofficial/

https://t.me/tvpertiwi

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Arak haram, mufti seru Kor Ming jaga sensitiviti umat Islam

Next Post

Persatuan Ulama puji MBI, bukan Islam masih bebas beli arak

Related Posts