Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 24 Rejab — Parti PEJUANG menggesa himpunan yang akan diadakan esok ditukar nama kepada “Himpunan Rakyat Sayang Perdana Menteri”.
Ketua Penerangannya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata langkah itu perlu diambil selepas himpunan yang mahu membantah rasuah dilarang pihak berkuasa.
“PEJUANG mencadangkan agar penganjur menukar nama program kepada ‘Himpunan Rakyat Sayang Perdana Menteri’ agar ia memperoleh keredaan menteri-menteri kerajaan.
“Terbukti kerajaan hari ini amalkan sistem ‘kami boleh, rakyat tidak boleh’. Hipokrit Madani. Lupa diri kerana kuasa sahaja,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Ketua Polis Dang Wangi mengesahkan pihaknya menerima notis pemberitahuan berhubung penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang akan diadakan Sabtu ini.
ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, bagaimanapun notis berkenaan tidak lengkap kerana tidak disertakan persetujuan pemilik premis perhimpunan.
Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak menyertai perhimpunan itu dan polis akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
Peserta perhimpunan akan berhimpun di hadapan pusat membeli-belah Sogo sebelum berarak di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman dan berakhir di Dataran Merdeka.
Muhammad Rafique berkata mahasiswa yang ingin berhimpun untuk menentang rasuah harus dipuji kerana mereka menjadi lambang masa depan negara.
Katanya, mahasiswa berhak menunjukkan rasa benci kepada gejala rasuah dan ia seharusnya mendapat sokongan penuh kerajaan dan pihak berkuasa.
“Negara ini negara hukum, masihkah ia begitu? Kalau berhimpun pun dapat macam-macam halangan dan rintangan jelas mereka dalam kerajaan sekarang ini lupa asal-usul.
“Tidak guna kalau dilaungkan ingin buat reformasi dan tata kelola kalau setakat di mulut, tetapi tidak pada tindakan.
“Dahulu mereka yang kini dalam kerajaan menggunakan mantera ‘suara rakyat, suara keramat’ dalam menjana sokongan ke mana-mana perhimpunan,” katanya.
Beliau berkata rakyat berhak berhimpun dengan aman dan tanpa senjata sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.
Katanya, APA 2012 amat jelas menggariskan pemakluman mesti diberi dan pihak polis serta penguatkuasa lain perlu mengawal dan memudahkan perjalanan perhimpunan aman.
“Pihak polis tiada kuasa menghalang orang awam hadir ke mana-mana perhimpunan aman. Pihak polis mempunyai kuasa untuk memanggil mesyuarat dan pertemuan antara penganjur.
“Pokoknya perhimpunan harus dibenar bukan disekat. Malah Menteri Dalam Negeri secara khusus ada kuasa untuk benarkan rayuan penganjur untuk jalankan perhimpunan.
“PEJUANG menyokong mana-mana pihak yang ingin berhimpun asal ianya himpunan aman tanpa senjata tentang isu-isu yang tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI:
https://www.instagram.com/tvpertiwiofficial/
https://t.me/tvpertiwi