Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 23 Rejab — Delegasi keselamatan Israel dilaporkan tiba di Kaherah, Mesir dalam usaha meneruskan rundingan gencatan senjata fasa kedua.
Sumber dari Kaherah itu memaklumkan delegasi Israel kali ini disertai pasukan risikan, Mossad dan pasukan keselamatan Shin Bet, lapor Xinhua.
“Perbincangan akan tertumpu kepada pelaksanaan fasa kedua perjanjian gencatan senjata termasuk membuka semula lintasan Rafah bagi membolehkan mereka yang tercedera menerima rawatan.
“Perbincangan juga menjurus kepada kawalan tentera Israel di Koridor Philadelphi yang merupakan sempadan Mesir-Gaza.
“Israel mahu separuh penguasaan mereka dikurangkan tetapi Mesir mahu semua tentera penjajah Israel berundur dari kawasan itu,” katanya.
Sumber memaklumkan perbincangan juga menjurus kepada pertukaran baki tahanan yang masih berada dalam kawalan Hamas dan Israel.
Fasa pertama gencatan senjata dimulakan Ahad lalu dengan Hamas membebaskan tiga tahanan disusuli 90 rakyat Gaza dibebaskan dari penjara Israel.
Israel kini sedang meningkatkan serangan di Tebing Barat sejak tiga hari lalu dengan 10 warga Palestin dilaporkan terkorban.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Israel akur kepada perjanjian gencatan senjata dengan tidak melakukan serangan di Tebing Barat.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI: