Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 22 Rejab — Cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk memindahkan sebahagian rakyat Gaza ke Indonesia terus mendapat bantahan pemimpin republik itu.
Ketua Badan Kerjasama Antara Parlimen, Mardani Ali Sera berkata AS tidak berhak menentukan masa depan rakyat Gaza yang mahu kekal di negara sendiri, lapor Detik.
“Yang pertama tentu bukan urusan Donald Trump memindahkan rakyat Gaza, enak aja. Itu terserah penduduk Gazanya. Kalau rakyat Gaza memang niatnya ingin membina semula Gaza.
“Rakyat Gaza itu bukan almari yang mudah dipindahkan,” katanya.
Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia semalam mendakwa akan berbincang dan membuat penilaian cadangan AS untuk memindahkan sebahagian rakyat Gaza ke republik itu.
Puan Maharani berkata penilaian akan tetap dilakukan walau Indonesia menyokong penuh kemerdekaan Palestin.
Trump kelmarin dilaporkan bercadang menjadikan Indonesia sebagai negara penghijrahan sementara dua juta rakyat Gaza dalam usaha pemulihan Palestin.
Sumber rasmi rundingan gencatan senjata memaklumkan Trump mempertimbangkan pilihan itu dalam usaha membangunkan semula Gaza yang hancur dibedil Israel.
Sementara itu, Anggota Suruhanjaya 1 DPR, Taufiq R Abdullah berkata cadangan memindahkan rakyat Gaza ke Indonesia hanya memberi kelebihan kepada Israel.
“Pembangunan semula Gaza akan tidak adil jika hanya untuk kepentingan Israel sehingga harus memindahkan warga Gaza,” katanya.
Kementerian Luar Indonesia semalam menegaskan cadangan untuk memindahkan sebahagian rakyat Gaza ke republik itu tidak dapat diterima.
Katanya, pemindahan penduduk yang terjajah ke wilayah lain tidak dapat menjadi penyelesaian dan hanya memperkuat pendudukan haram Israel di wilayah Palestin.
“Pemerintah Indonesia tidak pernah memperoleh informasi apa pun, dari siapa atau rencana terkait pemindahan sebahagian dua juta penduduk Gaza ke Indonesia,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI: