Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 22 Rejab — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menuntut penjelasan Universiti Malaya (UM) berhubung nyanyian lagu kebangsaan China di universiti itu.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata UM perlu memberi penjelasan selepas insiden berkenaan tular di media sosial.
“PERKASA menggesa pihak UM menjelaskan apakah yang sedang berlaku hari ini di dalam kampus dan universiti yang berada di Malaysia?
“Mengapa lagu dari negara China harus bergema di universiti? Mengapa lagu Negaraku hanya dinyanyikan selepas itu?
“Apakah identiti negara kita sedang dihapuskan secara perlahan atau pun pihak universiti sengaja mahu mengangkat adat dan budaya dari negara Tanah Besar China?” soalnya.
Beliau mengulas video tular di media sosial memaparkan hadirin di sebuah dewan UM diminta berdiri untuk menyanyikan lagu kebangsaan China dan Negaraku.
Katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga bertanggungjawab memberi penjelasan kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung insiden itu.
“PERKASA mendesak KPT sama-sama bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat adakah sentimen kecinaan sedang masuk secara halus di kampus-kampus universiti negara kita?
“PERKASA mengingatkan untuk terus membawa budaya negara ini serta kerajaan tidak perlu melayan pihak-pihak tertentu bagi mengangkat budaya dari negara luar seperti China.
“PERKASA sekali lagi dengan tegas ingin bertanya kepada kerajaan, ini negara Malaysia, Beijing atau Shanghai?” soalnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI: