Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 21 Rejab — Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menegaskan perjuangan pembebasan Palestin belum selesai selepas perjanjian gencatan senjata berjaya dimeterai.
Perunding Kanan Hubungan Antarabangsa dan Kebudayaannya, Salman Al-Farisi Selamat berkata umat Islam perlu bersatu menolak propaganda Israel.
“Ummah di Malaysia diseru untuk terus teguh bersolidariti dan bersama dengan rakyat Palestin menggembleng tenaga dan menyampaikan kesedaran.
“Juga memberi sumbangan dalam segala bentuk bantuan terutama di fasa awal yang kritikal ini membangun semula wilayah Gaza yang hampir musnah teruk.
“Di peringkat global, ummah perlu bertegas menyatakan tidak kepada sebarang usaha projek normalisasi Zionis dan idea menukar peta kewujudan Palestin dari peta dunia,” katanya.
Beliau mengulas proses gencatan senjata fasa pertama yang dimulakan kelmarin dengan pembebasan puluhan rakyat Palestin semalam.
Katanya, gencatan senjata boleh dianggap kejayaan awal rakyat Palestin di atas perjuangan hak kewujudan dalam menentukan nasib dan masa depan tanah air mereka sendiri.
“Rakyat Palestin di Gaza khususnya menjadi contoh suri tauladan ummah sebagai simbol kepada perjuangan, kecekalan, kesiagaan dan kesabaran.
“Ia di atas segala penderitaan, kezaliman, pencabulan dan penafian hak ke atas mereka selama ini.
“Darah syuhada di kalangan para pejuang, wanita dan kanak-kanak serta orang tua tidak akan sama sekali sia-sia,” katanya.
Salman Al-Farisi berkata keadilan hanya akan tertegak apabila Israel selaku penjenayah antarabangsa benar-benar diadili dan dijatuhi hukuman setimpal.
Katanya, Taufan Al-Aqsa membuktikan rejim Zionis dan sekutu mereka tidak layak berbicara soal keadilan dan kemanusiaan selepas lebih 45,000 rakyat Gaza terkorban.
“Agenda licik rejim Zionis dan sekutu untuk melenyapkan isu Palestin sehingga dilupakan oleh masyarakat dunia gagal sepenuhnya bahkan memakan diri mereka sendiri.
“Ia apabila majoriti besar warga dunia bangkit dan bangun mengatakan tidak kepada komplot jahat mereka ini.
“Dalam tempoh hampir 500 hari, dunia menyaksikan sendiri realiti sebenar rejim Zionis yang melakukan jenayah genosid terburuk dalam sejarah kemanusiaan,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI: