Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 17 Rejab — Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Wilayah Palestin menggesa pembiayaan bantuan kemanusiaan di Gaza dipertingkatkan menjelang pelaksanaan gencatan senjata.
Dr Rik Peeperkorn berkata anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penderma dan masyarakat global perlu menyokong proses pembinaan semula sistem kesihatan Gaza.
“Sekarang adalah masa untuk negara anggota dan penderma tampil dengan pembiayaan yang fleksibel bagi membolehkan respons segera dan berkesan.
“Akses pantas dan selamat adalah kunci untuk mempercepatkan penghantaran bantuan. PBB tidak dapat melaksanakan respons ini sendirian,” katanya dalam satu sidang media semalam.
Beliau berkata sebagai permulaan, 600 trak bantuan kemanusiaan akan dihantar ke Gaza setiap hari bermula Ahad ini.
Katanya, walau gencatan senjata sudah dipersetujui namun terdapat cabaran besar seperti halangan keselamatan dan politik yang perlu diselesaikan.
Sementara itu, Ketua Pengarah WHO mendakwa keadaan kesihatan di Gaza sangat kritikal dengan tidak sampai separuh hospital yang masih beroperasi.
Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata walau WHO menyambut baik pengumuman gencatan senjata namun ia agak terlambat selepas banyak nyawa menjadi korban.
“Kami menyambut berita ini dengan kelegaan tetapi juga dengan kesedihan mendalam. Perdamaian adalah ubat terbaik.
“Pemulihan ini akan menjadi usaha besar. WHO komited untuk menangani keperluan kesihatan mendesak rakyat Gaza sekarang dan selepas perjanjian ini dikuatkuasakan.
“Biarkan proses penyembuhan bermula, bukan sahaja untuk Gaza tetapi juga untuk Israel,” katanya.
WHO menganggarkan kos pemulihan kesihatan Gaza mencecah AS$3 bilion (RM13.5 bilion) untuk tahun pertama dan mencapai AS$10 bilion (RM45 bilion) dalam tempoh lima tahun.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI: