Suasana kecoh pada sidang media terakhir Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken semalam apabila seorang wartawan bebas dihalau keluar secara paksa.
Terdahulu, insiden itu bermula apabila beberapa wartawan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pendirian Blinken yang menyokong tindakan genosid dilakukan tentera negara haram Israel di Gaza.
Ucapan oleh Blinken itu mula dicelah oleh seorang wartawan AS, Max Blumenthal, yang mengungkit insiden 300 wartawan terkorban di Gaza akibat pengeboman yang disumbangkan oleh AS kepada rejim Zionis.
“Kenapa anda (Blinken) tidak terus menyalurkan bom (kepada Israel) sedangkan kita ada perjanjian pada Mei, kita semua tahu tentang perjanjian itu.
“Semua di dalam bilik ini tahu kita ada perjanjian ini Tony (Blinken), tetapi anda tetap meneruskan penghantaran bom itu.
“Kenapa anda abaikan perjanjian itu disebabkan komitmen anda kepada Zionisme?” jerit Blumenthal.
Tidak henti di situ, Blumenthal terus mempersoalkan tindakan Blinken yang berdiam diri apabila Israel melakukan serangan kejam tanpa henti di Gaza yang mengakibatkan kematian puluhan ribu rakyat Palestin termasuk rakan-rakan wartawan itu.
“Kenapa anda biarkan kawan-kawan saya dibunuh? Kenapa anda benarkan rumah kawan-kawan saya di Gaza dimusnahkan sedangkan kita ada perjanjian pada Mei?
“Anda telah musnahkan agama kami, Yahudi dengan mengaitkannya dengan fasisme.
“Datuk anda adalah pelobi Israel. Adakah anda ‘dibeli’ Israel? Kenapa anda benarkan Holokaus berulang pada zaman ini?
“Apa perasaan anda apabila legasi yang anda tinggalkan ialah genosid?” soalnya lagi.
Kemudian, seorang lagi wartawan, Sam Husseini turut memprotes ketika sidang media itu mengakibatkan dia dihalau secara paksa oleh pengawal keselamatan.
Menerusi video yang tular di X, kelihatan tiga pengawal keselamatan menghampiri Husseini sebelum dua daripada mereka mengangkat wartawan itu secara paksa untuk membawa dia keluar.
Ketika Husseini diangkat keluar daripada bilik itu, dia sempat menggelar Blinken sebagai seorang penjenayah.
“Semua orang di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) menyatakan Israel sedang melakukan genosid dan penghapusan etnik dan anda (Blinken) minta saya hormat proses (yang sedang berjalan)?
“Kenapa anda tidak berada di The Hague? Anda adalah penjenayah!” jerit Husseini ketika diangkat keluar.
Sidang media itu merupakan sidang media terakhir Blinken pentadbiran Presiden Donald Trump akan mula mengambil alih bermula 20 Januari depan.
Sidang media itu diadakan sehari selepas Qatar mengumumkan persetujuan gencatan senjata antara Hamas-Israel sekali gus menamatkan serangan 15 bulan Israel di Haza yang mengakibatkan kematian lebih 46,000 rakyat Palestin sejak Oktober 7 2023. Anadolu Agency
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI