BANGI, 17 Rejab – Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Nancy Shukri mengesahkan 107 daripada 560 anak-anak bekas anggota GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) tidak dituntut ibu bapa mereka.
Beliau juga mendedahkan, 448 kanak-kanak sudah diserahkan kepada keluarga mengikut Seksyen 30(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Nancy percaya, terdapat ibu bapa yang mahu menuntut anak mereka tetapi ada kemungkinan tidak berbuat demikian kerana bimbang ditangkap atau ada proses lain yang perlu dilakukan.
“Kita tidak ada sebarang niat tersembunyi sebaliknya mahu membantu kerana tidak mudah menjaga anak orang.
“Datanglah berunding kerana kita bukan mahu menyaman tetapi tetap melindungi dan menyelamatkan mereka,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Justeru, beliau menyarankan kepada ibu bapa supaya datang berbincang.
“Memang kami menjaga dengan baik tetapi kasih sayang ibu bapa itu lebih penting,” katanya.
Dilaporkan, sebanyak 560 kanak-kanak iaitu 283 lelaki dan 277 perempuan ditempatkan di pusat perlindungan selepas JKM mendapat perintah jagaan sementara daripada mahkamah bagi tempoh dua bulan mengikut peruntukan Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.