Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 16 Rejab — Mahkamah Majistret Teluk Intan membenarkan ikat jamin RM12,000 kepada seorang pembantu kedai makan yang didakwa melanggar mati tiga lelaki warga asing.
Majistret Naidatul Athirah Azman turut mengarahkan lesen Mohd Azizol Abdul Rasheed digantung sehingga perbicaraan kes selesai, lapor Berita Harian.
Mohd Azizol, 37, didakwa memandu di bawah pengaruh dadah hingga mengakibatkan kematian tiga lelaki Pakistan yang dalam perjalanan menunaikan solat sunat Aidilfitri tahun lalu.
Dia didakwa memandu Proton Iswara di bawah pengaruh dadah mengakibatkan kematian Khan Adil, 33, Muhammad Zahir, 31 dan Shayan Muhammad, 22, di KM 16 Jalan Teluk Intan-Bidor.
Kejadian 8.10 pagi pada 10 April tahun lalu mengakibatkan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan, Mohd Azizol boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak melebihi RM100,000.
Tertuduh hari ini bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan menerusi enam pertuduhan berasingan.
Peguam tertuduh, Aliff Aiman Rusli ketika membuat rayuan mendakwa anak guamnya berpendapatan RM50 sehari dan perlu menanggung ibu berusia 52 tahun.
“Anak guam saya juga ada satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kes urin.
“Bagi kes itu dia sudah hadir tanpa gagal atau cuba melarikan diri,” katanya.
Mahkamah menetapkan 19 Februari ini sebagai sebutan semula kes dan tarikh penyerahan dokumen.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI: