Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 16 Rejab — Pengumuman gencatan senjata bermula Ahad ini memberi peluang kedua kepada penduduk Gaza yang kehilangan ahli keluarga.
Seorang ibu kepada lima orang anak, Ghada, berasa kembali bernyawa selepas perjanjian gencatan senjata dapat dimuktamadkan, lapor Reuters.
“Saya gembira. Ya, saya menangis tetapi ini adalah air mata kegembiraan. Kami berasa bagai dilahirkan semula apabila setiap kali Israel menghentikan serangan.
“Saya berharap semuanya akan berakhir,” katanya yang kini berlindung di Deir Al-Balah selepas diusir dari rumahnya di Bandar Gaza.
Penduduk Gaza bersorak gembira dengan menari diiringi alunan muzik di pinggir jalan Khan Yunis selepas mendengar perjanjian gencatan senjata berjaya dimuktamadkan.
Perjanjian penuh gencatan senjata itu masih belum didedahkan namun ia membabitkan permulaan awal enam minggu dengan pengunduran tentera Israel secara berperingkat.
Turut dimuktamadkan pertukaran tahanan di antara Israel dan Hamas membabitkan mereka yang ditahan sejak Oktober 2023.
Kegembiraan itu tidak diraikan penduduk Gaza sepenuhnya kerana mengenangkan langkah yang perlu diambil bermula Ahad ini.
Ahmad Dahman, 25, berkata perkara pertama yang akan dilakukan adalah mencari jenazah ayahnya yang masih berada di bawah runtuhan bangunan.
Katanya, bapanya terbunuh dalam serangan udara Israel tahun lalu akan dikebumikan jika berjaya ditemui.
“Perasaan saya bercampur-campur kerana pertamanya banyak nyawa dapat diselamatkan dan tiada lagi pertumpahan darah.
“Tetapi saya juga bimbang melihat keadaan pasca perang apabila masih banyak runtuhan di jalanan terutama jenazah ayah saya yang masih tertimbus,” katanya.
Ibu Ahmad, Bushra, berkata walau gencatan senjata tidak mampu menghidupkan kembali suaminya namun nyawa penduduk lain dapat diselamatkan.
“Saya menangis seperti sebelum ini kerangan serangan berterusan tidak memberi peluang kami untuk menangis,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI: