Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Khamis – Gencatan senjata antara Hamas dan Israel yang akan bermula pada Ahad ini dijangka tidak akan menghentikan kekejaman Israel secara sepenuhnya terhadap bumi Gaza atau rakyat Palestin, kata pakar geostrategi Prof Dr Azmi Hassan.
Beliau berkata, ia berkemungkinan hanya akan ‘memperlahankan’ kekejaman dilakukan negara haram Israel terutama dalam tempoh 45 hari bagi fasa pertama gencatan senjata itu.
“Sebelum menuju ke Ahad ini yang bermulanya gencatan senjata, Israel telah menyerang bertubi-tubi dan membunuh 20 penduduk Gaza.
“Dalam serangan ini, saya lihat tidak ada kepentingan ketenteraan pun sebab gencatan senjata akan dilakukan.
“Jadi, gencatan senjata itu mungkin akan memperlahankan kekejaman dalam masa 45 hari fasa pertama itu,” katanya kepada TV Pertiwi.
Menurut Azmi, gencatan senjata itu bagaimanapun tetap akan memberi manfaat besar kepada penduduk Gaza apabila perkembangan ini membolehkan bantuan kemanusiaan disampaikan kepada rakyat Palestin dari Rafah tanpa gangguan.
Namun begitu, beliau berkata, situasi ini belum dianggap sebagai kemenangan mutlak rakyat Palestin kerana serangan tanpa henti dalam tempoh 15 bulan lalu oleh Israel telah menyebabkan kemusnahan dahsyat di Gaza.
“Hakikatnya, kemenangan kepada rakyat Palestin adala pada fasa ketiga gencatan senjata iaitu fasa pembangunan pasa perang.
“Ketika ini, baru kita akan dapat lihat bagaimana bentuk warna 2-State Solution, pembentukan pentadbiran atau kerajaan Gaza, siapa yang akan menentukannya dan siapa yang akan membiayai pembangunan wilayah itu.
“Kita belum sampai lagi ke peringkat fasa tiga. Kalau fasa tiga berjalan maka itu saya anggap satu kemenangan besar kepada rakyat Palestin terutama penduduk Gaza,” katanya.
Mengulas lanjut, Azmi berpandangan, Israel terpaksa bersetuju dengan gencatan senjata itu apabila menerima tekanan besar daripada masyarakat antarabangsa dan kuasa besar seperti Rusia dan China.
Selain itu, beliau berkata tindakan Afrika Selatan mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) serta waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) turut mremainkan peranan penting ke arah pelaksanaan gencatan senjata berkenaan.
“Dan antara penyebab utama juga pertukaran pentadbiran Amerika Syarikat (AS) yang akan dipimpin oleh Presiden Donald Trump.
“Sebab kita tak tahu bagaimana Trump akan bertindak.
“Kalau digabungkan semua tekanan-tekanan ini, inilah yang membuatkan terutama sekali Israel terpaksa bersetuju untuk berundur dari kawasan-kawasan bandar di Gaza dan juga sempadan Gaza-Mesir,” tambah beliau.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI