Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 15 Rejab — Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengecam usaha kerajaan memohon perintah larangan (gag order) bagi membincangkan isu titah adendum.
Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) itu tidak lain dilihat sebagai tindakan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16.
“UMMAH berpandangan bahawa tindakan ini bertentangan dengan hak asasi rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan negara serta menderhaka kepada titah Agong ke-16.
“UMMAH menggesa agar mahkamah menolak permohonan gag order ini dengan mengambil kira prinsip-prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Peguam Kanan Persekutuan sebelum ini mendedahkan kerajaan akan memfailkan permohonan untuk mahkamah mengeluarkan gag order.
Shamsul Bolhassan berkata ia bagi melarang mana-mana pihak membincangkan isu berkaitan titah adendum yang akan dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi.
Katanya, permohonan itu akan dibuat pada Isnin depan bagi melindungi institusi diraja dalam isu terkait raja, agama dan kaum (3R).
Mohd Zai berkata permohonan larangan itu akan dilihat sebagai percubaan kerajaan untuk mengekang kebebasan bersuara dan menyembunyikan kebenaran.
Katanya, Perkara 10(1)(a) secara khusus menyatakan bahawa setiap warganegara berhak untuk mengemukakan pendapat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kebebasan ini adalah asas bagi sebuah negara demokrasi di mana rakyat berhak untuk menyuarakan pandangan dan memberi pendapat tentang dasar kerajaan.
“Dengan mengenakan gag order, kerajaan cuba untuk menyekat hak ini yang seharusnya diberikan kepada rakyat untuk berbincang dan memberikan pandangan.
“Permohonan ‘gag order’ yang bertujuan untuk menyekat maklumat diketahui rakyat adalah tindakan yang bertentangan dengan prinsip kebebasan media,” katanya.
Beliau berkata Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan juga memberi jaminan kepada setiap individu berhak mendapat keadilan dan perlakuan yang sama di hadapan undang-undang.
Katanya, sekatan terhadap maklumat yang berkaitan dengan kes-kes yang melibatkan kepentingan awam berisiko untuk menjejaskan prinsip keadilan tersebut.
“Jika rakyat tidak diberi peluang untuk mengetahui butiran pengampunan dan disembunyikan pihak tertentu, ia boleh menimbulkan keraguan terhadap integriti proses keadilan.
“Ia juga menimbulkan kebimbangan bahawa terdapat percubaan untuk mengawal naratif awam dan menutup kemungkinan perbincangan kritikal mengenai tindakan kerajaan.
“Permohonan gag order ini memperlihatkan ketakutan kerajaan terhadap kritikan dan pandangan awam terutamanya melibatkan isu membabitkan kepentingan negara,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI: