Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 15 Rejab — Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) membayangkan rundingan gencatan senjata di Gaza sudah berada di peringkat akhir menunggu persetujuan Hamas.
Antony Blinken berkata pengumuman bakal dibuat dalam masa terdekat selepas apa yang dibincangkan selama ini dipersetujui, lapor portal Independent.
“Perjanjian gencatan senjata di antara Israel dan Hamas kini berada di puncaknya. Perjanjian hampir termeterai berbanding apa yang berlaku sebelum ini.
“Kita sedang menunggu persetujuan Hamas dan sehinggalah keputusan itu, ia masih belum dapat dipastikan,” katanya dalam satu sidang media di Washington, AS.
Sumber Israel memaklumkan fasa pertama perjanjian itu, Hamas akan membebaskan 33 tahanan termasuk wanita, kanak-kanak, tentera wanita dan lelaki berusia 50 tahun ke atas.
Fasa pertama dijangka berlangsung selama 60 hari dengan rundingan fasa kedua akan bermula selepas 16 hari jika semua peraturan dipenuhi.
Fasa kedua menyaksikan pembebasan baki tahanan seperti tentera lelaki, belia dan penghantaran mayat.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel memaklumkan Hamas masih belum memuktamadkan butiran dalam perjanjian gencatan senjata.
Benjamin Netanyahu berkata Hamas membangkitkan kebimbangan berhubung hak sempadan yang bakal dikuasai tentera penjajah Israel (IOF) selepas persetujuan gencatan senjata.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI: