Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Selasa – Langkah kerajaan yang akan memohon perintah larangan bersuara berkaitan semakan kes Datuk Seri Najib Razak berhubung Titah Adendum mencerminkan ketakukan kerajaan terhadap ketelusan, kata Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA)
Dalam kenyataan semalam, MUDA berpendirian bahawa keterbukaan seharusnya menjadi asas dalam sebuah masyarakat demokratik.
Katanya, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan jelas menjamin hak kebebasan bersuara bagi rakyat Malaysia.
“Mengapa alasan ‘isu sensitif’ digunakan untuk menyekat perbincangan awam berhubung perkara yang menyentuh integriti institusi negara?
“Jika suara rakyat dianggap ancaman, persoalan yang wajar timbul adalah: atas arahan siapa perintah larangan ini dimohon?” soalnya.
Mengulas lanjut, MUDA berkata, cubaan menyekat suara rakyat hanya akan menimbulkan lebih banyak persoalan selain menjejaskan keyakinan terhadap proses yang seharusnya bebas dan adil.
Justeru, parti itu mempersoalkan tujuan sebenar di sebalik tindakan memohon perintah larangan terbabit.
“(Adakah ia) untuk melindungi kepentingan awam, atau semata-mata menjaga individu tertentu daripada dipertanggungjawabkan di mata rakyat?
“MUDA menegaskan bahawa perbincangan terbuka adalah tonggak demokrasi,” katanya.
Tambahnya, tindakan kerajaan itu dibimbangi akan menjejaskan keabsahan sistem perundangan negara.
Tegasnya, rakyat berhak mengetahui mengapa Titah Adendum yang didakwa mampu mempengaruhi hukuman penjara seorang bekas Perdana Menteri yang telah disabitkan dengan salah laku rasuah, diperlakukan dengan penuh kerahsiaan,
“Bukankah keterbukaan menjamin integriti institusi lebih kukuh?
“Kerajaan perlu jawab, siapakah yang mengarahkan permohonan perintah larangan bersuara ini dan apakah kepentingan awam yang kononnya dilindungi, atau adakah ini semata-mata soal kepentingan peribadi?” tambahnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI