Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 14 Jan — Gerakan Rakyat Hidupkan Amar Maaruf dan Hancurkan Amalan Maksiat (GERAHAM) menggesa umat Islam tidak lagi menjejakkan kaki ke pasaraya KK Mart.
Pengerusinya, Ustaz Noor Hakimi Ab Halim berkata selepas penjualan stoking tertera kalimah Allah, KK Mart sekali lagi mencabar kesabaran umat Islam.
“GERAHAM mengajak seluruh umat Islam di Malaysia untuk meneruskan kembali boikot besar-besaran ke atas rangkaian kedai KK Mart sebagaimana sebelum ini.
“Provokasi ke atas kesabaran umat Islam adalah merbahaya kepada keharmonian negara terutamanya Islam adalah agama persekutuan.
“Sebagai tanda bantahan, usaha yang mampu dibuat oleh umat Islam ialah dengan mengharamkan kaki masuk ke KK Mart,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas penemuan sandwic “ham and cheese” di pasaraya KK Mart di Universiti Malaya.
Sandwic berkenaan menggunakan logo halal palsu dan perkara itu disahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Noor Hakimi berkata insiden penemuan sandwic itu amat dikesali apabila membabitkan pasaraya yang terletak di universiti.
Katanya, KK Mart sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi penjualan stoking kalimah Allah namun tidak belajar dari kesalahan yang lalu.
“Kesalahan kali kedua ini seolah-olah hendak mencabar sekali lagi kesabaran umat Islam di Malaysia.
“Sudah tentu GERAHAM menggesa pihak berkuasa seperti JAKIM dan pihak jabatan agama tidak lagi berlembut atau berkompromi dengan tindakan yang dianggap biadap dari KK Mart.
“Menjual makanan yang sah haram seperti daging babi dan kemudiannya menggunakan label halal dikeluarkan JAKIM jelas pelanggaran undang-undang secara terang-terangan,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI:
https://www.instagram.com/tvpertiwiofficial/