Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 13 Rejab — Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menggesa kerajaan menutup sekolah persendirian Cina bagi mengutamakan aliran pendidikan arus perdana.
Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata sekolah berkenaan melebarkan jurang antara kaum dan melenyapkan perpaduan yang sudah lama menjadi teras kepada integrasi nasional.
“Sudah sampai masanya sekolah persendirian Cina ditutup secara beransur-ansur dari sekarang dan menjadikannya sekolah kebangsaan arus perdana.
“Sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, semangat perpaduan dan integrasi antara kaum adalah sangat penting dalam sistem pendidikan.
“UMMAH akan terus berperanan sebagai semak dan imbang serta akan mengutarakan langkah yang sesuai memastikan kepentingan pendidikan terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini mengulas peruntukan RM20 juta yang diumumkan Perdana Menteri kepada sekolah persendirian Cina.
Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin mengumumkan peruntukan itu ketika berucap di Sekolah Menengah Persendirian Jit Sin di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Katanya, peruntukan itu akan diagihkan kepada 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara pada tahun ini dengan RM1 juta kepada sekolah itu sendiri.
Mohd Zai berkata UMMAH berasa kesal dan membantah terhadap peruntukan itu di saat sekolah agama persendirian dan sekolah agama rakyat dibiarkan tanpa dana khas.
Katanya, sejak sekian lama sekolah persendirian Cina beroperasi mengenepikan agenda aspirasi nasional dan peruntukan berkenaan menunjukkan sikap pilih kasih kerajaan.
“Keputusan kerajaan untuk memberikan dana RM20 juta kepada sekolah persendirian Cina adalah satu langkah yang sangat tidak sesuai pada waktu ini.
“Ia menggalakkan lagi perpecahan antara kaum dan menjejaskan usaha menyatukan rakyat Malaysia di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan.
“Kerajaan wajar memberi perhatian lebih besar kepada pengukuhan sistem pendidikan kebangsaan arus perdana yang memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata tindakan kerajaan yang terus memberi sokongan kewangan kepada sekolah persendirian yang menggunakan kurikulum asing memberi isyarat yang salah.
Katanya, ini jelas menggagalkan usaha untuk merapatkan jurang pemisahan antara masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa melalui dasar pendidikan kebangsaan.
“Sistem pendidikan ‘dualisme’ yang terasing boleh memburukkan lagi integrasi antara kaum dan mencetuskan perasaan tidak selesa di kalangan rakyat.
“Di waktu negara memfokuskan agenda penyatuan dan integrasi nasional, pemberian dana kepada sekolah persendirian boleh mencetuskan perasaan tidak adil.
“Ia terutamanya apabila sekolah kebangsaan yang menjadi asas perpaduan menerima peruntukan yang tidak setimpal dengan keperluan mereka,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI: