Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 12 Rejab — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mendesak kerajaan pimpinan Perdana Menteri membuat permohonan maaf.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata ia selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kewujudan titah adendum.
“PERKASA menggesa kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk bertanggungjawab membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Kerana menderhaka kepada institusi raja-raja Melayu dengan menyembunyikan titah adendum tersebut dan kerajaan harus mencari jalan untuk membersihkan nama mereka.
“PERKASA mohon campur tangan daripada pihak istana untuk menyelesaikan kemelut titah adendum ini agar dapat diselesaikan dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar ketika berucap di program Muhibbah Madani di Pulau Pinang semalam mengakui Peguam Negara menerima surat berhubung titah adendum.
Katanya, surat itu diterima selepas pertukaran Yang di-Pertuan Agong baharu dan Peguam Negara menyerahkan surat itu kepada Istana Negara, lapor Malaysiakini.
“Surat tu dihantar kepada Peguam Negara, bukan kepada saya, bukan kepada ahli Lembaga Pengampunan.
“Peguam Negara kemudian bila Agong ganti, diserah kepada Istana Negara, kerana Agong yang pengerusikan [Lembaga Pengampunan]. Itu keadaannya, bukan kita sorok,” katanya.
Irwan Fahmi berkata Kementerian Dalam Negeri sebelum ini mengatakan titah adendum hanyalah khabar angin tetapi hari ini terbukti segala teka-teki mengenainya.
Katanya, apa yang menjadi persoalan adalah mengapa titah itu tidak dilaksanakan selepas hampir setahun ia disembunyikan.
“PERKASA ingin persoalkan siapa yang derhaka kepada institusi raja-raja Melayu sekarang dengan menyembunyikan titah adendum tersebut?
“Adakah kerajaan hari ini boleh dikatakan sebagai sebuah kerajaan yang menderhaka kepada titah Agong? Mengapa perlu menganiaya orang yang berhak mendapatkan adendum tersebut?
“Titah adendum ini terjawab apabila tularnya surat perakuan dari Istana Pahang yang mengesahkan memang wujud titah adendum tersebut,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI: